KUALA LUMPUR – Para ulama diminta bersuara demi membela nasib 10 juta etnik Uiyghur yang ditindas di China.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, etnik itu berdepan dengan penindasan yang sangat berat, melibatkan hak agama dan budaya mereka.
“Sejak Turkistan Timur (nama asal Xinjiang ) ditakluk China pada 1949, etnik Uyghur mengalami penindasan yang berterusan daripada kerajaan Komunis China.
“Malang sekali, sehingga ini negara Islam dalam OIC menyokong tindakan represif kerajaaan Komunis China yang kini menguatkuasakan dasar menindas etnik Uyghur atas alasan kononnya mengekang terrorisme dan ekstrimisme,” katanya dalam kenyataan di sini.
Malah, etnik itu berdepan dengan pelbagai perlanggaran hak manusia oleh Kerajaan China yang tidak disuarakan oleh para ulama dunia.
“Kami berpendirian kezaliman yang dilaporkan melalui ribuan testimoni pelbagai pelarian Uiyghur yang mengisahkan penderitaan mereka tidak boleh dibiarkan tanpa suara bantahan daripada kalangan ulama dan cendekiawan,” ujarnya.
Antara penindasan yang kerap dinafikan oleh kerajaan China ialah, 1 hingga 1.8 juta penduduk Uiyghur kini ditahan di kem tahanan, penangkapan arbitrari, indoktrinasi politik komunis, kehilangan secara paksa, pemusnahan khazanah agama seperti masjid, buruh paksa, dihukum kerana mengamalkan amalan dan budaya hidup agama.
Selain itu, mereka tidak dibenar mewujudkan pendidikan agama, pemandulan paksa, tidak dibenarkan berpuasa di bulan Ramadan dan berada di bawah pengawasan paling ketat dengan mengenakan profil paksa ke atas Uiyghur.
Namun, China mendakwa kaum Uiyghur diserapi pemikiran radikal.
“Lebih berat lagi ialah penindasan terhadap Uyghur melibatkan halangan ke atas hak agama, memusnahkan masjid dan semua simbol agama, memusnahkan al-Quran, pemaksaan perkahwinan wanita Islam Uiyghur dengan lelaki Han komunis.
Maka, MAPIM menggesa agar para ulama dan cendikiawan Islam menyuarakan bantahan supaya Kerajaan China menghentikan kezaliman ke atas umat Islam di China.
“Negara-negara Islam dalam OIC jangan membisu terhadap kezaliman kerajaan China ke atas kaum Islam Uiyghur dan umat Islam.
“Kepentingan pelaburan dan perdagangan dengan China tidak boleh mengatasi kepentingan Islam dan hak kaum Muslimin,” ujar Azmi. -MalaysiaGazette