MILAN – Sekurang-kurangnya lima orang mati di sebuah rumah jagaan di Itali kerana disyaki keracunan karbon monoksida, lapor media tempatan.
Kejadian itu berlaku di rumah jagaan Villa dei Diamanti di Lanuvio, sebuah bandar berhampiran Rom.
Seorang anggota bomba dalam ciapannya di Twitter berkata: “Beberapa penduduk terbunuh, sementara yang lain dirawat di hospital”.
Agensi berita ANSA pula berkata, tujuh orang, termasuk dua pekerja kesihatan, dirawat di hospital kerana mengalami gejala keracunan karbon monoksida.
“Ini merupakan tragedi,” ulas Setiausaha Bahagian di Kementerian Dalam Negeri, Carlo Sibilia.
Pusat itu juga menguruskan penularan koronavirus selepas seorang pekerja kesihatan didapati positif Covid-19 pada 13 Januari lalu. – MalaysiaGazette