KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan berkolaborasi bersama dengan Jabatan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dalam menguatkuasakan Perintah Sekatan Pergerakan (PKP/PKPB & PKPB), yang berkuatkuasa bermula pada 13 hingga 26 Januari ini bagi menghalang penularan pandemik Covid19, di seluruh negara.
Ops Covid19 membabitkan 1,200 anggota JPJ ini akan menyasarkan semata-mata kepada kepatuhan aspek Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan oleh kerajaan, melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN), serta kesalahan-kesalahan lain yang bersangkutan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat
(PAD) 2010, dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) 1987.
JPJ berkata, kolaborasi mapan antara kedua-dua Jabatan penguatkuasa (JPJ-PDRM) ini adalah suatu manifestasi jelas di dalam merealisasikan aspek penguatkuasaan SOP dengan lebih serius, di sepanjang tempoh berkuatkuasanya PKP ini.
Sehubungan itu, seluruh rakyat di negara ini disaran mematuhi semua arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan.
Gerak kerja seumpama ini akan memberi keutamaan khusus kepada beberapa kawasan/lokaliti tertentu di seluruh negara, yang menjadi tumpuan utama pengguna-pengguna jalan raya, yang mana ianya akan dilaksanakan melalui tiga (3) strategi utama berikut, iaitu:
i. Rondaan Jalan Utama Negeri Dan Lebuh Raya ;
ii. Sekatan Jalan Raya Yang Mengkhususkan Kenderaan Awam;
iii. Pemeriksaan Dan Pemantauan Di Terminal Bas Utama (TBS)
Menurutnya, langkah atau pendekatan bersepadu ini wajar dilakukan bagi tujuan mengekang penularan wabak ini yang dilihat semakin meningkat akibat ketidakpatuhan SOP oleh masyarakat tempatan dan seluruh rakyat di negara ini diminta memberi kerjasama sepenuhnya dalam di sepanjang tempoh
penguatkuasaan PKP/PKPB/PKPP ini agar aspek penularan wabak atau pandemik ini akan dapat ditangani secara berkesan. – MalaysiaGazette