KABUL, Afghanistan – Lelaki-lelaki bersenjata api melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta di utara Kabul menyebabkan dua hakim wanita yang berkhidmat dengan Mahkamah Tinggi Afghanistan terbunuh dan mencederakan seorang pemandu, kata seorang pegawai mahkamah.
Ia merupakan serangan terbaharu di ibu negara Afghanistan semasa rundingan damai antara Taliban dan pegawai kerajaan negara itu sedang berlangsung di Qatar, lapor AP.
Jurucakap Mahkamah Agung Afghanistan, Ahmad Fahim Qawim berkata, wanita-wanita tersebut adalah hakim Mahkamah Tinggi tetapi beliau tidak mendedahkan nama mereka.
Tiada pihak yang mendakwa bertanggungjawab melakukan serangan itu dan jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid berkata, pihaknya tidak bertanggungjawab.
Kerajaan Afghanistan sering kali menyalahkan Taliban di atas pembunuhan-pembunuhan yang berlaku baru-baru ini dan kumpulan itu menuduh kerajaan melakukan pembunuhan untuk merosakkan proses damai.
Kumpulan Islamic State (IS) mendakwa bertanggungjawab ke atas beberapa serangan di ibu negara baru-baru ini termasuk serangan terhadap institusi pendidikan yang meragut 50 nyawa, kebanyakannya pelajar.
IS juga mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan roket yang menyasarkan pengkalan tentera Amerika Syarikat di Afghanistan. Tiada kematian dalam serangan tersebut. – MalaysiaGazette