PENAMPANG – Hujan berlarutan sejak semalam menjejaskan beberapa kawasan di daerah ini termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang sehingga menyebabkan sebahagian urusan di IPD berkenaan tergendala sementara.

Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd Haris Ibrahim berkata, walaupun terjejas banjir, anggota polis daripada IPD berkenaan masih meneruskan operasi pemantauan banjir termasuk menjaga lalu lintas di kawasan terlibat disebabkan kebanyakan jalan utama turut ditenggelami air.

“Sebarang pertanyaan mengenai perkembangan banjir serta kawasan-kawasan yang terlibat boleh dimajukan kepada Bilik Gerakan Operasi Bencana Daerah Penampang di talian 088-726054,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa batang jalan di daerah ini hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda dan setakat 11.30 pagi tadi hujan masih belum reda.

Antara jalan yang ditenggelami air dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan ialah Jalan Kiranau Inobong, Jalan Kolopis, Jalan Datuk Panglima Banting, Jalan Kibabaig dan Jalan Kivatu Kasigui.

Selain Pitas, Beaufort dan Paitan yang terjejas banjir, Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tuaran dan Papar menjadi daerah terbaharu dilanda bencana itu bermula malam tadi. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast