Azmi Saat bakal meraikan ulang tahun ke-10 perkahwinan bulan depan bersama isteri.

KUALA LUMPUR – Lagu Tulus yang dilancarkan pada November lalu memberikan transisi berbeza dalam kerjaya nyanyian Azmi Saat.

Ini kerana Tulus adalah karya pertama yang dicipta Azmi sekitar 2008 dan berjaya disiapkan sekali gus menyerlahkan lagi bakatnya.

Menampilkan melodi dan lirik mengenai kisah perasaan terhadap orang dicintai iaitu isteri, Tulus disifatkan lagu yang cukup istimewa dengan dirinya. Malah, dekat di hati peminat setia Azmi.

Terbaharu, Universal Music Malaysia dan Valient Music selaku penerbit melancarkan video muzik (MV) rasmi lagu Tulus di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Bercakap soal ketulusan dalam perhubungan suami isteri, Azmi yang bakal meraikan ulang tahun ke-10 perkahwinan bulan depan mengakui dia pernah melalui saat getir bersama isteri.

“Pada awal perkahwinan iaitu dalam tempoh dua ke tiga tahun, isteri banyak bantu. Apatah lagi dia adalah penjawat awam dan mempunyai gaji tetap.

“Isteri juga pernah bergolok gadai dengan menggadaikan barangan kemas termasuk terpaksa menjual hantaran perkahwinan berupa gelang emas. Sebab kami nak buat duit pendahuluan pindah rumah sewa baharu.

“Jadi, apabila saya sudah ada sedikit duit, barulah saya belikan gelang baharu sebagai ganti dan berikan dia duit untuk tebus semula barangan kemas yang digadai,” katanya.

Walaupun tidak sesempurna insan lain, Azmi dan isteri tetap bahagia dalam melayari bantera perkahwinan mereka. Malah sama seperti pasangan lain, Azmi juga pernah membuat kejutan istimewa kepada isteri dengan menghadiahkan bunga dan barangan kemas.

“Isteri saya suka bunga, jadi saya belikan bunga. Saya pernah buat kejutan dengan belikan barang kemas.

“Ketika itu saya masih bekerja sebagai tukang urut dengan pendapatan mencecah RM1,000 sebulan. Jadi, adalah lebih duit sikit,” katanya.

Video muzik (MV) rasmi lagu Tulus boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Apa yang pasti juga, kekurangan yang dimiliki bersama pasangan tidak menjadikan mereka kufur nikmat sebaliknya berasakan diberikan kelebihan lain oleh Allah SWT.

“Walaupun dalam keadaan begini, saya tidak berasa ia satu kekurangan atau susah pun. Kalau diberi peluang nak pasangan normal atau macam saya, saya nak yang sama macam saya.

“Sebab kami saling memahami selain mengetahui kekuatan dan kekurangan masing-masing. Kalau kahwin dengan isteri normal, saya pasti tak dapat membantu dan menjaganya. Sebab dia kena buat semua sediri malah perlu menguruskan saya pula. Jadi, apabila dapat yang sama, kami buat bersama-sama. Dalam erti kata lain susah dan senang kami bersama,” katanya.

Bercerita mengenai MV lagu Tulus yang dilancarkan, Azmi berkata dia berlakon sebagai individu celik sebelum mengalami kecelakaan hingga mengakibatkannya buta.

“Jalan cerita daripada pihak pengarah dan syarikat rakaman. Ia bukanlah kisah saya atau ikut jalan cerita lagu. Saya hanya berlakon juga.

“Saya menjadi suami dan isteri dilakonkan pelakon lain. Saya menjadi orang celik, kemudian ada insiden saya hilang penglihatan.

“Pada awalnya saya tak percaya dan sering marah, tapi isteri pujuk. Sepanjang tempoh itu, rupanya isteri pun ada sakit. Jadi, saya menyesal dengan tindakan yang dibuat,” katanya.

Tulus diterbitkan oleh Universal Music Malaysia dan Valient Music. Single ini boleh didapati di semua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, KKBox, Deezer, Joox, iTunes dan YouTube. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast