KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin terbukti tidak mempunyai dasar strategik seperti kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, semasa BN memerintah, Laporan Transformasi Negara diterbitkan tiap tahun supaya kerajaan dapat mengenalpasti masalah rakyat serta indikator yang diperlukan untuk mengatasi ketidakseimbangan sosioekonomi.
Justeru tegas beliau, adalah lebih baik RM35 juta yang diperuntuk bagi membina dewan dan pusat komuniti itu digunakan untuk membina rumah mampu milik seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) atau Rumah Transit 1Malaysia yang memberi manfaat kepada golongan miskin.
“Rumah PPR dijual hanya pada harga RM35,000 ketika diperkenalkan kerajaan BN dengan subsidi yang ditanggung kerajaan sebanyak RM100,000 hingga RM350,000 bergantung kepada nilai hartanah yang berbeza di setiap negeri.
“Dengan RM35 juta itu kerajaan dapat membina sebanyak 350 unit rumah PPR yang boleh disewakan kepada golongan miskin bandar jika subisidi yang ditanggung kerajaan sebanyak RM100,000 untuk seunit rumah,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya di sini.
Najmil yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu berkata, tiada alasan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk tidak membina rumah mampu milik kerana Perdana Menteri dan Menteri KPKT adalah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Katanya, jika UMNO menerajui kerajaan sudah tentu akan melaksanakan inisiatif ini kerana ia telah membuktikan pada rakyat kerana sampai ke Pulau Tioman kerajaan BN membina rumah untuk rakyat melalui PPR Tekek Makmur.
Semalam Pejabat Perdana Menteri menjelaskan, peruntukan sebanyak RM35.43 juta bagi dewan di kawasan Parlimen Pagoh, Johor melibatkan pembinaan tiga buah dewan orang ramai, bukan satu seperti yang didakwa.
Projek itu membabitkan pembinaan Dewan Gersik, Tangkak bernilai RM13 juta, Dewan Masyarakat Bukit Pasir, Muar (RM16.66 juta) dan Pusat Komuniti Bukit Kepong, Muar (RM5.77 juta).
Pembinaan ketiga-tiga dewan ini adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat. – MalaysiaGazette
Zaman Umno Bn dulu lebih banyak perbelanjaan membazir, jgn terlalu berpolitk..peruntukan kerajaan bukannya boleh dipindah membabi buta… cthnya peruntukan elaun lebihmasa tak boleh dipindahkan begitu sahaja utk beli peralatan….k
Dalam keadaan darurat dan pandemik ni, dewan itu adalah keperluan kritikal..apatah lagi Dewan di parlimen Pagoh..lg lah kritikal antara hidup dan mati…haaa