Pejabat fizikal kekal penting dalam pemulihan perniagaan dan memastikan dapat kembali kepada keadaan normal dengan cepat. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Walaupun fenomena “mengular” semasa bekerja dari rumah adalah merentas sektor awam dan swasta, majikan bagaimanapun percaya keadaannya lebih mudah dikawal dalam pekerjaan swasta.

Bos-bos swasta juga percaya sistem yang digunakan dapat memastikan pekerja melakukan tugas kerana mereka akan mengalami “log keluar” daripada platform atau perisian jika tidak aktif.

China Press melaporkan, pengalaman pertama dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga membantu majikan mengaturkan pekerjaan dari rumah secara lebih berkesan.

Majikan swasta memberi pandangan mereka mengenai situasi “kerja di rumah” selepas Jabatan Perkhidmatan Awam mendedahkan bahawa terdapat penjawat awam yang bersiar-siar atau membeli-belah di luar semasa waktu kerja.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, berbanding dengan sektor awam, fenomena “mengular” dalam sektor swasta dipercayai adalah lebih sedikit berbanding sektor awam.

Keadaan itu berlaku, menurut Shamsuddin, kerana pekerja diberi tugas yang spesifik dan majikan juga mewajibkan pekerja log masuk ke dalam platform yang disediakan.

“Pekerja perlu mematuhi arahan yang diberikan selepas log masuk.

“Jika mereka meninggalkan platform, maka mereka akan mengalami ‘log keluar’. Ini merupakan cara yang digunakan untuk memantau pekerja,” katanya kepada China Press.

Menurutnya lagi, pengalaman dalam PKP pertama membolehkan majikan dan pekerja lebih mengerti matlamat kerja dari rumah.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Datuk Michael Kang berkata, “mengular” merupakan perkara yang selalu berlaku semasa pekerja bertugas dari rumah.

Beliau berkata, memandangkan ia merupakan norma baharu yang penting, maka pekerja diminta berdisiplin dan mengurangkan pergerakan ke tempat luar.

Katanya, majikan kini lebih berpengalaman dalam menguruskan pekerja di rumah, termasuk menggunakan perisian untuk memantau pekerjaan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast