Singapura
Bandar raya Singapura.

SINGAPURA – Pelawat yang bercadang memasuki Singapura di bawah Pas Perjalanan Udara (ATP) dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) perlu mempunyai insurans perjalanan untuk kos rawatan dan kemasukan ke hospital berkaitan COVID-19 di sini, dengan perlindungan minimum S$30,000.

Keperluan baharu itu berkuat kuasa mulai 11.59 malam pada 31 Jan, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam semakan terbarunya mengenakan langkah sekatan sempadan yang lebih ketat bagi menangani risiko kes import COVID-19 dan penularan jangkitan tempatan daripada pelawat.

“Insurans perjalanan itu akan membantu mereka membayar kos rawatan perubatan di Singapura. Pelawat boleh membeli insurans perjalanan itu dari syarikat insurans berpangkalan di Singapura atau di luar negara,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan di sini hari ini.

Senarai produk insurans yang tersedia boleh didapati di laman web SafeTravel di https://safetravel.ica.gov.sg/health.

Singapura mempunyai perjanjian RGL dengan lima negara termasuk Malaysia dan enam kawasan di China.

Memandangkan kemunculan varian virus baharu dan keadaan COVID-19 yang semakin teruk di seluruh dunia, republik itu juga akan mengenakan langkah kawalan sempadan tambahan untuk semua pelawat.

Secara khusus, kementerian itu berkata mulai 11.59 malam pada 24 Jan 2021, semua pengembara termasuk rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) perlu menjalani ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) COVID-19 sebaik tiba di Singapura.

Keperluan menjalani notis tinggal di rumah (SHN) termasuk ujian PCR di akhir tempoh SHN akan diteruskan, menurut kenyataan itu.

Untuk mempercepatkan ujian PCR COVID-19 di lapangan terbang, MOH berkata para pengunjung amat digalakkan untuk mendaftar dan membuat bayaran prabayar ujian PCR COVID-19 sebelum mereka berlepas ke Singapura di https://safetravel.changiairport.com.

Sementara itu, sebagai langkah berjaga-jaga mulai 11.59 malam pada 18 Jan, semua rakyat Singapura dan PR yang pulang dari United Kingdom dan Afrika Selatan perlu menjalani pengasingan kendiri tambahan selama tujuh hari di kediaman masing-masing diikuti SHN selama 14 hari di kemudahan SHN, menurut MOH.

Kementerian itu menyatakan ia akan terus mengkaji data dan bukti mengenai sebarang virus baharu dan mengemas kini langkah-langkah sewajarnya.

Sehingga tengah hari ini, Singapura mengesahkan lima kes baharu jangkitan COVID-19 tempatan dan 19 kes import.

Jumlah kes positif di republik itu 59,083. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast