Penambahan lebih 3,500 anggota kesihatan bermula hujung bulan ini seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Pakej Bantuan Khas memberi kelegaan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Penambahan lebih 3,500 anggota kesihatan bermula hujung bulan ini seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Pakej Bantuan Khas memberi kelegaan.

Bagaimanapun Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS), Adnan Mat berharap lebih ramai anggota tambahan diberikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membantu petugas sedia ada.

“Jumlah 3,500 itu sebenarnya hanya mampu mengurangkan sedikit beban tugas kakitangan KKM sedia ada apatah lagi jumlah kes harian yang dicatatkan setiap hari sangat tinggi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

CUEPACS selain itu berharap kerajaan dapat menyegerakan penyaluran peruntukan untuk menambah lebih ramai bilangan petugas kesihatan agar dapat meredakan kegelisahan petugas kesihatan sedia ada, katanya.

Selain itu Adnan berkata, pengendali hospital swasta perlu segera memberi bantuan menerima dan merawat pesakit Covid-19 di hospital masing-masing bagi mengurangkan kesesakan di hospital dan fasiliti kesihatan milik kerajaan.

Hospital swasta jelas Adnan perlu mengeluarkan garis panduan yang jelas kepada kerajaan dan orang awam mengenai kesediaan mereka menerima dan merawat pesakit Covid-19.

“Ketika ini adalah masa yang terbaik untuk hospital swasta menjalankan tanggungjawab menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia dan tidak bersikap menolak segala masalah yang tidak boleh dikendalikan ke hospital kerajaan.

“CUEPACS tidak mahu pengumuman yang dibuat oleh kerajaan hanya disambut oleh sebahagian kecil saja daripada pengendali hospital swasta atau sekadar buat cukup syarat saja. Pada masa ini semua pihak perlu berkongsi kepakaran dan tenaga untuk menyelamatkan negara daripada pandemik Covid-19,” tambah beliau.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast