Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta agar tidak mengenakan tindakan terhadap Dr Mustafa Kamal yang mendedahkan situasi dialaminya ketika menjaga pesakit Covid-19 di Hospital Sungai Buloh.

Ini kerana, tindakan Mustafa apabila menggunakan laman sosial untuk berkongsi rasa kecewanya selepas kepenatan menjaga pesakit merupakan satu tindakan yang boleh dipuji demi kebaikan semua.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, Mustafa memberanikan diri dengan menyatakan kebenaran walaupun apa yang ditempuh adalah pahit.

“Secara peribadi, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Dr Mustafa Kamal dan petugas barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh yang telah menyelamatkan nyawa bonda saya ketika bertarung melawan Covid-19 tahap 4, pada awal Januari 2021.

“DPIM menyarankan kerajaan Perikatan Nasional untuk mengutamakan kebajikan barisan hadapan dan kemudahan di hospital-hospital serta pusat kuarantin yang kini berada pada tahap kritikal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, sebarang projek yang tidak penting dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat pada ketika ini perlulah dihentikan dan sumber kewangan itu boleh digunakan dalam usaha melawan wabak berkenaan.

Dengan memberikan contoh pembinaan dewan-dewan berjumlah RM35.43 juta, projek seumpama itu tidak wajar diteruskan sebaliknya, ia boleh diserah demi mengembalikan ekonomi rakyat dan barisan hadapan untuk melawan Covid-19.

“Semua pihak perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing agar kita semua dapat keluar daripada pandemik ini dengan cepat.

“Jika barisan hadapan dinasihatkan menjalankan tugas sebagai barisan hadapan, maka ahli politik dan pihak pentadbiran kerajaan juga perlu menjalankan tugas mereka dengan berkesan.

“SOP untuk rakyat marhaen seperti kami seharusnya digunapakai oleh ahli politik dan Menteri tanpa sebarang pilih kasih. Tiada siapa yang mahu PKP dilaksanakan untuk berbulan-bulan kerana ianya bakal meranapkan ekonomi negara.

“Pada masa yang sama, PKP yang dilaksanakan sekarang perlu diperketatkan agar kita dapat melihat penurunan kes hasil PKP yang efektif. Malangnya, PKP selama hampir seminggu masih tidak menunjukkan kesan penurunan kes,” ujarnya. – MalaysiaGazette