Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO menyokong penuh segala bantuan diumumkan untuk rakyat kerana sememangnya menjadi tanggungjawab sesebuah kerajaan.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebuah kerajaan tidak boleh minta rakyat ikat perut apatah lagi bersikap kedekut atau menuduh rakyat malas.

“Syukur Alhamdulillah, pengumuman kerajaan mengenai Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) semalam dibuat selepas enam hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

“Ia tidaklah terlalu cepat, tetapi ada (bantuan) dan segala bantuan yang diumumkan untuk rakyat ini, kita sokong penuh kerana ia sememangnya kebertanggungjawaban sesebuah kerajaan.

“Lagipun, kerajaan sememangnya patut berbelanja untuk rakyat. Lebih lagi pada waktu PKP ini program bakul makanan jauh lebih penting berbanding projek dewan badminton,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelan merangsang ekonomi bernilai RM15 bilion di bawah pakej bantuan PERMAI.

Pakej itu merupakan kesinambungan kepada empat pakej rangsangan ekonomi bernilai RM305 bilion ringgit atau lebih 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi membantu rakyat dan perniagaan dan juga melindungi ekonomi.

Pakej itu juga menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan mempercepatkan pelaksanaan sebanyak 22 inisiatif berteraskan kepada tiga matlamat utama iaitu Memerangi Wabak Covid-19; Memelihara Kebajikan Rakyat dan Menyokong Kelangsungan Perniagaan.

Ahmad Zahid bagaimanapun menyatakan PERMAI masih kurang aspirasi dalam membantu rakyat supaya kekal tenang di rumah, sekali gus mengurangkan kadar jangkitan Covid-19 yang sangat tinggi ketika ini.

Katanya, rakyat bersyukur dengan bantuan tunai, tetapi sebahagian yang diumumkan semalam adalah yang pernah diumumkan sebelum ini, cuma akan dipercepatkan.

“Ini tidak bersifat ‘contingency’ atau suatu tambahan tunai dalam membantu mereka berhadapan kesukaran PKP 2.0.

“Berapa lama bantuan bakul makanan bernilai RM100 dan bantuan wang RM300 boleh membantu rakyat untuk terus bertahan dan kekal di rumah?

“Semasa PKP 1.0, kita mengambil masa lebih lima bulan untuk mengurangkan kadar jangkitan yang cuma beberapa ratus kes,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan, berapa lama pula agaknya untuk PKP 2.0 dapat mengurangkan kadar jangkitan yang melebihi 3,000 kes setiap hari?

“Apatah lagi PKP 2.0 agak longgar dan lebih banyak aktiviti dibenarkan termasuk taman awam di Wilayah Persekutuan dibuka semula kepada orang ramai.

“Sedangkan, Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah) memaklumkan negara memerlukan sekurang-kurangnya empat minggu untuk mengurangkan kes jangkitan Covid-19 harian antara 1,000 kepada 500 sehari,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1,000 bagi permohonan kemudahan i-Sinar Kategori 2.

Namun, katanya, pembayaran itu akan dibuat pada 26 Januari iaitu pada fasa pertama PKP 2.0 berakhir, sedangkan rakyat memerlukan wang itu sekarang, ketika mereka diarah mengurangkan pergerakan.

Begitu juga bantuan moratorium dan pengurangan bayaran balik pinjaman akan terus disediakan, tetapi masih ada rungutan mengenainya sebelum ini.

“Kesulitan untuk mendapatkan moratorium satu hal. Tawaran pengurangan bayaran balik pula didakwa lebih menguntungkan bank berbanding peminjam.

“Mungkin sebab itu cuma kira-kira 1.3 juta permohonan yang diterima oleh pihak bank setakat ini.

“Apapun, kita memahami beban kewangan kerajaan untuk memberi bantuan yang lebih besar kepada rakyat,” katanya.

Sebab itu, kata Ahmad Zahid, beliau terus mendesak kelulusan moratorium bayaran pinjaman bank secara automatik kerana percaya bank masih mampu mencatatkan keuntungan di sebalik kebertanggungjawaban sosial itu.

Pada masa sama, UMNO juga terus mendesak kelulusan skim i-Sinar KWSP tanpa syarat dan bayaran dibuat pada kadar segera kerana wang itu adalah milik rakyat sendiri yang sangat-sangat diperlukan mereka ketika ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.