KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan mengenepikan dan mengabaikan industri pelancongan merupakan kesilapan yang besar serta tidak berpandangan jauh.

Malah, pakej stimulus ekonomi PERMAI bernilai RM15 bilion oleh kerajaan semalam satu kekecewaan sangat besar kepada semua pengusaha pelancongan negara.

Bekas Pengerusi Persatuan Pelancongan Terengganu, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, baik pengusaha hotel, ejen pelancongan, peniaga restoran, pembuat kraftangan dan semua industri sokongan pelancongan lain bimbang masa depan mereka yang gelap tanpa nampak penghujung untuk penyelesaiannya.

“Tidakkah kerajaan sedar sektor pelancongan memberi peluang perkerjaan amat luas kepada pelbagai sektor ekonomi dan lapisan masyarakat dari pengusaha hotel kepada pembuat kuih dan kraftangan di kampung hingga kepada pekerja biasa penggiat pelancongan.

“Kesan ganda pelancongan kepada ekonomi amat tinggi dan boleh merangsangkan ekonomi negara dengan begitu luas serta berkesan memanafaatkan ekonomi serta merangkumi setiap lapisan masyarakat bandar dan desa.

“Lupakah kerajaan sektor pelancongan adalah penyumbang pendapatan negara kedua tertinggi selepas minyak dan gas?” soal beliau menerusi kenyataan kepada media hari ini.

Beliau yang meruoakan bekas Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia-Cawangan Terengganu menjelaskan, sikap dangkal tanpa visi pandangan jangkamasa panjang kerajaan, membuatkan sektor pelancongan negara terus merudum dan tertinggal walaupun selepas wabak Covid-19.

Kata Raja Kamarul Bahrin, walaupun jika sektor pelancongan antarabangsa akan lambat pulih, penting sektor pelancongan domestik dipulihkan segera.

“Tindakan lemah kerajaan akan memusnahkan infrastruktur serta aset pelancongan tempatan yang telah kita bina dengan begitu baik selama ini.

“Sebelum PKP lagi kerajaan sudah menutup pejabat promosi Pelancongan Malaysia di peringkat negeri.

“Ini sangat tidak bijak dan boleh menjadi pukulan maut kepada usaha promosi pelancongan domestik yang sudah pun lemah dan memerlukan suntikan semangat baru, bukan tindakan kebelakang yang negatif,” katanya. – MalaysiaGazette