Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Peningkatan kes baharu Covid-19 sejak kebelakangan ini disebabkan pesakit terdedah kepada virus itu dalam tempoh 14 hari sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 13 Januari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesan pelaksanaan PKP hanya boleh dilihat dalam tempoh dua minggu akan datang.

“Kes-kes yang dilaporkan hari ini dan beberapa hari yang kebelakangan kerana pendedahan kepada virus tersebut dalam tempoh 14 hari.

“Kesan PKP pada 13 Januari hingga ke hari ini mungkin tak dapat impak atau kesannya dan mungkin dalam tempoh dua minggu, baru kita dapat lihat kesan penurunan atau kes-kes itu stabil sebelum dia turun,” katanya pada sidang media di KKM, hari ini.

Berdasarkan kes baharu yang kekal empat angka hari ini iaitu 3,631 kes, Dr Noor Hisham menjangkakan kes baharu akan terus melonjak sehingga 5,000 kes sehari.

“Perhatian kepada kes harian Covid-19 dan jangkaan kes dari 12 Februari sehingga 31 Mei 2021. Jangkaan kebolehjangkitan semalam adalah 1.16 peratus RO/RT dengan kes 3,306 kes baharu.

“Pada hari ini kes yang dilaporkan ialah 3,631 kes juga dilaporkan telah melebihi RO/RT atau kadar kebolehjangkitan unjuran kita ialah 1.2.

“Kalau kita melihat unjuran RO/RT 1.2, kita menjangkakan pada minggu ketiga Februari ini, kita akan mendapat 5,000 kes seharian dan minggu ketiga Mac ini, kita dijangka dapat 8,000 kes seharian

“Jadi amatlah penting untuk kita melaksanakan PKP,” katanya lagi. – MalaysiaGazette