Muhammad Hilman Idham

KUALA LUMPUR – Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung Pakej Bantuan PERMAI berjumlah RM15 bilion membuktikan sikap proaktif kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangani kesan ekonomi akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Ketua Penerangan Pemuda PN, Muhammad Hilman Idham yakin pakej dengan fokus yang strategik akan menjadi pemangkin kepada usaha pemulihan ekonomi.

Katanya, suntikan fiskal langsung melalui pelbagai inisiatif yang membela kebajikan rakyat dan menjamin kelangsungan perniagaan pasti akan memberi impak positif kepada ekonomi negara sekaligus menjamin kesejahteraan rakyat khususnya anak muda.

“Pemuda PN optimis Pakej Bantuan PERMAI juga akan memberdaya ekonomi anak muda termasuk mengurangkan jumlah pengangguran dalam kalangan rakyat.

“Inisiatif kerajaan yang progresif seperti Program Subsidi Upah 3.0 yang bernilai RM 1 bilion, Skim Mikrokredit bernilai RM 1 bilion, Geran Khas Prihatin PERMAI bernilai RM 650 juta serta kempen ekonomi digital untuk PKS dan ‘Shop Malaysia Online’ dengan peruntukan RM 300 juta pastinya akan menyuntik dinamisme positif kepada aktiviti perniagaan sekaligus membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan untuk generasi muda,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Hilman berkata, sokongan berterusan untuk sektor kesihatan serta bantuan kebajikan kepada golongan terjejas terutama golongan rentan juga penting untuk melindungi keselamatan dan membela kebajikan rakyat.

Katanya, pengumuman berkenaan juga sebagai tanda sokongan berterusan kerajaan kepada para frontliners yang cekal gigih berkhidmat demi rakyat dan negara.

“Mendakap cabaran besar dalam suasana persekitaran ekonomi hari ini, Pemuda Perikatan Nasional bertekad untuk menjadi pemudahcara buat anak-anak muda Malaysia agar dapat menikmati manfaat hasil daripada inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan.

“Menjadi harapan kita agar usaha ini mampu memperkukuh ikhtiyar kerajaan Perikatan Nasional untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara dan mengangkat martabat rakyat,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast