Peruncit, B. Tatcchna menonton Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Pakej Bantuan Khas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan bukan sahaja untuk mengekang penularan Covid-19 malah penyaluran bantuan secara berterusan agar rakyat dapat meneruskan kelangsungan hidup.

Terbaharu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelan merangsang ekonomi bernilai RM15 bilion di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) iaitu pakej bantuan kelima kepada rakyat dalam situasi pandemik.

Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati ada sebilangan golongan penerima bantuan berpuas hati dengan usaha kerajaan manakala terdapat juga sebilangan yang mahu bantuan berkenaan memerlukan penambahbaikan.

Seorang pekerja swasta, Mohamad Yusri Mokhtar, 43, berkata, walaupun dirinya bukan salah seorang penerima bantuan dalam kategori yang diumumkan semalam namun berharap kerajaan dapat mempermudahkan lagi permohonan pengeluaran Wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi i-Sinar.

Mohamad Yusri Mokhtar. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JANUARI 2021.

“Saya masih bekerja dan masih ada gaji buat setakat ini tapi kalau boleh bantuan yang diumumkan dapat benar-benar membantu orang di luar sana seperti golongan yang kehilangan kerja atau dipotong gaji, saya rasa itu yang terbaik.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana sepanjang pandemik ini banyak beri bantuan kepada rakyat tapi berkaitan i-Sinar kalau boleh dipermudahkan lah urusan pengeluaran. Sebenarnya dokumen sokongan itu tak perlu cukup sekadar butiran maklumat diri pemohon sudah memadai bagi pendapat saya,” katanya.

Sementara itu, seorang penghantar makanan, Muhammad Afiq Ashraf, 23, menyatakan dirinya berpuas hati dengan bentuk bantuan yang disalurkan oleh kerajaan kepada rakyat.

Muhammad Afiq Ashraf. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JANUARI 2021.

Justeru katanya, rakyat juga perlu memainkan peranan dengan memberikan kerjasama kepada kerajaan sebagai langkah memerangi kesan pandemik.

“Kira sudah cukup untuk rakyat bukan satu bantuan sahaja kalau kita lihat sejak dari Mac tahun lalu sehingga kini banyak sudah peruntukan untuk rakyat.

“Tapi jika diikutkan para peniaga antara golongan yang terjejas teruk lebih-lebih lagi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ketika ini, jadi mungkin kerajaan boleh beri lebih fokus kepada mereka,” ujarnya.

Turut senada agar kerajaan dapat memberikan lebih fokus kepada golongan tersebut, Mohd Efiza Yazid, 32, berkata, poket para peniaga antara yang terjejas teruk ketika musim PKP ini akibat kekurangan pelanggan.

Mohd Efiza Yazid. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JANUARI 2021.

“Orang yang berniaga mungkin lebih terkesan ketika musim pandemik Covid-19 ini. Kedai sekarang pun hanya untuk bungkus sahaja, mungkin boleh lebih fokus kepada mereka. Mereka yang ada kerja teruskan dan perlu bersyukur,” kata jurutera itu.

Dalam pada itu, pemandu e-hailing, Mohd Firdaus, 38, berkata, segala bentuk bantuan yang diberikan kerajaan harus bersifat menyeluruh dan tidak tertumpu kepada sesetengah golongan sahaja.

Mohd Firdaus. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JANUARI 2021.

“Bantuan ini terpulang (kerajaan) tapi jika hendak beri biarlah menyeluruh tidak kira kepada siapa sama ada mereka yang bekerja separuh masa atau sepenuh masa jadi ia nya tidak bersyarat dan bukan sekelompok,” katanya.

Bagi Nurain Shahida Rosman, 24, dia mempertikaikan mengapa kerajaan tidak menyalurkan bantuan secara one-off kepada penghantar makanan sepertinya.

Nurain Shahida. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JANUARI 2021.

Jelas Nurain yang sudah lebih setahun bekerja sebagai penghantar makanan itu, pekerjaan yang dilakukannya itu bukan sahaja berisiko tinggi malah pendapatan mereka juga kadang kala tidak menentu disebabkan persaingan.

“Bantuan one-off yang diberikan kepada pemandu teksi dan juga e-hailing sepatutnya penghantar makanan pun dimasukkan sekali dalam senarai tersebut kerana pekerjaan kami ini juga sama berisiko.

“Kira tidak adil kenapa teksi dan e-hailing boleh dapat tapi bukan rider macam kami,” jelasnya.

Untuk rekod, PERMAI merupakan kesinambungan kepada empat pakej rangsangan ekonomi yang bernilai RM305 bilion ringgit atau lebih 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar bagi membantu rakyat dan perniagaan dan juga melindungi ekonomi.

Muhyiddin berkata, pakej bantuan PERMAI menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan juga mempercepatkan pelaksanaan sebanyak 22 inisiatif yang berteraskan kepada tiga matlamat utama iaitu memerangi Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan. – MalaysiaGazette