Datuk Alexander Nanta Linggi. foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meminda beberapa akta untuk menambah baik mekanisme penyelamat dan rehabilitasi bagi syarikat-syarikat yang berhadapan dengan masalah kewangan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian itu juga akan terus membantu komuniti perniagaan dengan melaksanakan 29 inisiatif bersasar melalui Program Prihatin Pandemik Covid-19 KPDNHEP bertemakan “Kurangkan Kesan, Rancakkan Perniagaan”.

Antara inisiatif itu berkaitan dengan moratorium iaitu pengurangan kadar sehingga 60 peratus ke atas kompaun yang dikeluarkan KPDNHEP bagi kesalahan tertentu, melanjutkan tempoh pendaftaran percuma bagi SSM BizTrust sehingga 31 Disember 2021 dan pengurangan kompaun bagi permohonan pembatalan Syarikat di Bawah Seksyen 549/550 Akta Syarikat 2016 sehingga 30 Jun 2021.

“Selain itu adalah payment holiday bagi peminjam Dana Skim Pembiayaan Kecil Francais (SPKF) yang tidak mempunyai tunggakan melebihi enam bulan; dan Skim 1 Pelajar, 1 Perniagaan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang akan memberi pendaftaran perniagaan secara percuma kepada pelajar sepenuh masa di IPTA dan IPTS tempatan yang ingin mendaftarkan perniagaan mereka di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956,” katanya menerusi kenyataan.

KPDNHEP juga menerusi program ini menyediakan program dalam kategori membantu merancakkan ekonomi.

Antaranya ialah program “Franchise @ Marketplace”, iaitu kerjasama bersama dengan Shopee bagi mempromosi dan menjual produk francais secara atas talian; penyewaan Kiosk/ Push Carts di pasaraya terpilih bagi memberi peluang Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk memperkenalkan produk mereka kepada orang ramai di pasaraya terpilih, di samping meningkatkan imej dan meningkatkan jualan produk PKS di pasaran tempatan.

“Melanjutkan tempoh sah pemegang permit barang kawalan dari satu tahun kepada tiga tahun dan pemegang permit khas barang kawalan dari enam bulan kepada satu tahun; program “SSM Prihatin” bagi membantu peniaga-peniaga kecil dengan menawarkan bantuan yang paling sesuai semasa era pendemik COVID-19 agar komuniti ini dapat meneruskan perniagaan terutamanya dengan kehadiran pelanggan yang berkurangan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan; dan memendekkan proses pengeluaran permohonan baharu permit barang kawalan dari tujuh hari kepada lima hari dan pembaharuan permit barang kawalan dari lima hari kepada tiga hari,” jelas beliau.

Menurut Alexander, semua inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kementeriannya bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan sektor perdagangan domestik, di samping memudahcara proses
kerja, selaras dengan keperluan norma baharu di era pasca Covid-19.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik inisiatif-inisiatif di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dengan 22 inisiatif dan 15 daripadanya untuk kelangsungan ekonomi dengan pelaksanaan oleh pelbagai kementerian dan agensi.

Beliau turut menyambut baik pengumuman Muhyiddin bagi menambahbaik Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Covid-19 2020 dengan melanjutkan tempoh kuat kuasa ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontraktual kepada 31 Mac 2021. -MalaysiaGazette