Hujah agama, yang diguna pakai golongan profesional bukan daripada bidang perubatan dan penjual produk-produk alternatif, mengenai keburukan vaksin adalah antara punca ramai ibu bapa menolak pengambilan vaksin untuk kesihatan anak-anak mereka, kata seorang pakar perubatan kesihatan awam.
Gambar hiasan

NEW DELHI – Hampir satu pertiga penduduk India tidak hadir untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 yang mula diedarkan sejak Sabtu lalu.

Hanya 381,305 penduduk telah menerima suntikan vaksin dalam tempoh tiga hari pertama sejak program vaskinisasi dimulakan.

Justeru, kerajaan India akan menggandakan usaha bagi membina kepercayaan rakyatnya terhadap vaksin bagi membendung penularan Covid-19.

Pihak berkuasa kesihatan mengesahkan, hanya 53 peratus penduduk hadir untuk menerima suntikan di New Delhi.

“Program ini baru diperkenalkan beberapa hari lalu dan kami faham, ramai yang masih ingin melihat bagaimana prosedur ini dijalankan dan menunggu perkembangan vaksin lain.

“Kami juga berusaha untuk menangani maklumat tidak tepat mengenai program ini bagi meningkatkan keyakinan orang ramai,” kata salah seorang pasukan petugas Coronavirus di bandar raya itu, Suneela Garg.

Kerajaan India berharap dapat memvaksin kira-kira 300 juta daripada 1.3 bilion penduduknya menjelang Julai depan.

Menurut laporan akhbar lain, hanya 16 peratus penduduk di negeri Tamil Nadu yang hadir untuk menerima suntikan.

Seorang doktor berkata, hanya 29 orang daripada 100 penduduk di daerah Rohtak, dekat Haryana, yang sepatutnya hadir menerima vaksin berkenaan telah hadir.

“Ramai penduduk yang masih takut, jadi kita tidak boleh memaksa mereka untuk menerima suntikan ini kerana ia bersifat sukarela,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Harsh Vardhan turut menukar ‘tajuk’ profil di laman Twitternya dengan catatan “Vaksin Berkesan”.

“Sejak awal lagi kita telah memaklumkan masyarakat supaya tidak bimbang terutama apabila banyak maklumat tidak tepat mengenai vaksin dikongsikan,” katanya.

Selain itu, kerajaan turut memaklumkan, seramai 580 individu dilapor mengalami gejala membimbangkan dalam tempoh tiga hari pertama program vaksinasi itu dijalankan. – MalaysiaGazette