KUALA LUMPUR – Pemain pertama Malaysia yang diikat oleh kelab J.League, Hadi Fayyadh telah diumumkan secara rasmi sebagai salah seorang dari 10 pemain baharu kelab J3 League, Azul Claro Numazu untuk aksi musim 2021.
Berdasarkan kemas kini yang dibuat oleh pihak kelab Azul Claro Numazu, senarai penuh pemain skuad utama kelab menunjukkan bahawa Hadi diberikan jersi nombor 27 untuk musim hadapan.
Apa yang menarik, jika diperhatikan dari ketinggian pemain dalam skuad Azul Claro Numazu ini, Hadiadalah pemain ketiga paling tinggi dengan 186 sentimeter (cm) dan berada dibelakang pemain pertahanan Koki Inoue (190 cm) dan penjaga gol mereka Masataka Nomura iaitu 188 cm).
Selain itu, 19 pemain yang kekal bersama skuad Azul Claro Numazu ini kebanyakan adalah pemain yang memasuki tahun kedua iaitu seramai lapan pemain bersama kelab dan paling lama adalah enam musim iaitu 2 pemain.
Daripada 10 pemain baharu, empat orang adalah bekas pelajar universiti dan seorang adalah dari pasukan sekolah tinggi. – MalaysiaGazette