KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan kerajaan negeri itu akan memastikan seluruh rakyat akan menikmati semua inisiatif di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).
Jelasnya, Sabah merupakan salah sebuah negeri yang terjejas teruk akibat penularan wabak itu baru-baru ini, justeru semua 22 inisiatif PERMAI patut dinikmati rakyat negeri itu.
Kerajaan negeri ini akan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi memastikan Sabah tidak tersisih mendapat manfaat PERMAI.
“Sabah adalah salah satu negeri yang paling parah terkena wabak itu, oleh itu kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Putrajaya untuk memastikan kita akan diutamakan dalam semua inisiatifnya,” katanya menerusi kenyataan.
Mengakui usaha pemulihan ekonomi di negeri itu tidak mudah ekoran pandemik yang melanda, namun Hajiji optimis PERMAI dapat membantu.
“Tetapi, jangan salah, kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil segala kemungkinan untuk memastikan ekonomi Sabah pulih,” tambahnya.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan 22 inisiatif di bawah PERMAI yang membabitkan peruntukan berjumlah RM15 bilion.
Inisiatif ini adalah salah satu usaha kerajaan dalam menangani kesan daripada pandemik Covid-19 khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.- MalaysiaGazette