Petugas Clinic 365 melakukan ujian saringan Covid-19 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Jalan Pudu, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak layak untuk mendesak Yang Dipertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menarik balik proklamasi darurat, sekaligus menggantung sesi Parlimen.

Sebaliknya pemimpin veteran itu harus menghentikan sandiwara politiknya ketika petugas barisan hadapan dan rakyat sedang berperang dengan Covid-19.

Sekiranya Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri itu berniat menyumbang sesuatu untuk menyekat penularan Covid-19, Biro Penyelarasan Pergerakan Masyararakat Sivil Pemuda MCA mencadangkan beliau menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang akan dibentuk kerajaan.

Pengerusinya, Heng Zhi Li berkata, Kit Siang boleh menyumbang idea untuk mengurangkan jumlah kes positif virus tersebut.

“Malangnya ketika wabak ini, veteran DAP itu terus terlibat dalam berpolitik sehingga cuba membawa ketidakstabilan politik dan apakah dia akan menanggung akibatnya yang akan memberi kesan kepada kesihatan awam dan kehidupan rakyat.

“Biro kami kecewa dengan sikap segelintir ahli Parlimen yang mendesak darurat berkenaan ditarik balik atau mahu Dewan Rakyat bersidang tanpa digantung semasa darurat termasuk Kit Siang sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pada Sidang Dewan Rakyat lalu, Kit Siang lantang menyuarakan agar persidangan tidak diadakan namun kini pemimpin DAP itu Dewan bersidang.

“Kami meminta pembangkang cukup-cukuplah berpolitik dan sila menghormati keputusan YDPA yang dibuat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan negara kita.

“Rakyat sekarang mahukan penularan Covid-19 dilandaikan agar ekonomi kembali hidup semula dan masyarakat kembali menjalani kehidupan normal yang sihat dan bebas dari pandemik,” kata Zhi Li. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast