Kualiti minyak sawit bersubsidi dalam bungkusan plastik setanding dengan dalam botol.

PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan untuk membenarkan penjual runcit mengenakan had pembelian minyak masak dalam bungkusan polybag 1 kilogram sebanyak tiga unit untuk setiap transaksi bagi setiap pelanggan, berkuatkuasa semalam.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP), Azman Adam berkata, minyak masak dalam bungkusan itu merupakan barang kawalan yang diberikan subsidi di bawah Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS).

“Pihak Kerajaan komited dalam memastikan kestabilan keberadaan bekalan minyak masak polybag 1 kilogram yang diberikan subsidi untuk memastikan rakyat boleh mendapatkan bekalan minyak masak untuk kegunaan isi rumah dengan harga yang ditetapkan iaitu RM2.50 sekilogram, khususnya dalam cabaran situasi pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Azman, pelaksanaan had pembelian itu bertujuanĀ  untuk memastikan lebih ramai pengguna berpeluang memperoleh bekalan minyak masak bersubsidi.

Sementara itu, beliau mengingatkan penjual runcit bahawa kebenaran itu adalah terpakai kepada minyak masak pek polybag 1 kilogram sahaja dan ia perlu dijual dengan harga RM2.50 sekilogram.

“Tiada had pembelian perlu dikenakan ke atas minyak masak bukan dalam pek polybag 1 kilogram.

“Pada masa yang sama, KPDNHEP kekal konsisten mengawal selia aktiviti perdagangan dan pengedaran di negara ini bagi memastikan rangkaian pengedaran pemborongan dan peruncitan tidak terjejas sekaligus dapat memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia bahawa bekalan barangan keperluan asas dan penjagaan diri mencukupi di pasaran.

“Arahan ini juga memastikan tiada perlakuan peniaga yang mengambil kesempatan memanipulasi harga dan bekalan minyak masak semasa pandemik Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette