KUALA LUMPUR – Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bukti kerajaan proaktif menangani kesan ekonomi ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, suntikan fiskal langsung melalui pelbagai inisiatif membela kebajikan rakyat dan menjamin kelangsungan perniagaan pasti akan memberi impak positif kepada ekonomi negara, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat.
Bantuan sekali gus one-off RM300 kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat, disifatkan Zuraida sebagai penghargaan terhadap golongan turut yang bertungkus lumus dalam usaha mengekang penularan Covid-19 dalam negara.
“Langkah tersebut membuktikan kerajaan amat prihatin menghargai peranan mereka yang bertungkus-lumus berusaha mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, KPKT gembira dan menghargai pengumuman tawaran Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi, yang mana skim ini memberi 50 peratus jaminan terhadap pinjaman sedia ada dengan syarikat sewa beli dan pajakan bagi pengusaha bas terpilih.
“Moratorium selama 1 tahun ini turut diberikan kepada mereka yang layak dengan kadar faedah yang lebih rendah. Adalah diharapkan bantuan ini dapat meredakan sedikit sebanyak kesukaran yang dihadapi oleh pengusaha bas persiaran yang terjejas akibat wabak Covid-19,” tambahnya.
Beliau berharap, PERMAI mampu memberi kelegaan dan nafas baru kepada rakyat dalam mengharungi waktu getir akibat Covid-19.- MalaysiaGazette