KUALA LUMPUR – Satu kertas siasatan telah dibuka oleh Polis Daerah Sepang berhubung video viral yang memaparkan pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Serdang (MAEPS) awal minggu ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, seorang pegawai polis yang bertugas di PKRC berkenaan telah membuat laporan polis insiden itu di Balai Polis Datuk Abu Bakar Baginda semalam.
“Buat masa ini, kertas siasatan telah dibuka.
“Ia akan memastikan satu siasatan terperinci dijalankan oleh polis, selain mempertingkatkan pemantauan tegas ke atas pesakit di PKRC MAEPS,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, MalaysiaGazette mendedahkan video tular itu di WhatsApp dan Facebook yang memaparkan sekumpulan pesakit di dalam hospital sementara berkenaan terlibat dalam permainan judi berkonsepkan sistem barter.
Mereka menggunakan makanan maggi dan sebagainya sebagai pertaruhan menggantikan wang.
Aktiviti berjudi dalam kalangan segelintir pesakit Covid-19 itu mengundang kecaman orang ramai.
Video berdurasi lima hingga 10 saat itu dimuat naik pemilik Facebook ‘We Are Malaysians’ dengan mendakwa PKRC itu ibarat mini kasino.-MalaysiaGazette