INSTITUSI Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) telah diperkenalkan sejajar dengan permintaan pihak kerajaan dalam meningkatkan lagi kualiti pendidikan negara memandangkan negara Malaysia memerlukan tenaga mahir yang ramai dalam menuju masa hadapan.
Statistik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) pada
tahun 2019, menunjukkan jumlah IPTA adalah sebanyak 158 (termasuk universiti awam, politeknik dan kolej komuniti) dan IPTS sebanyak 436 (termasuk IPTS bertaraf universiti, IPTS universiti cawangan luar negara, kolej universiti dan kolej).
Enrolmen kemasukan pelajar antarabangsa ke IPTA dan IPTS pula adalah sebanyak 32,404 dan 59,013 manakala bilangan pelajar warganegara adalah sebanyak 657,709 dan 574,331 serta bilangan kekuatan stafnya adalah sebanyak 31,626 bagi IPTA dan 23,338 bagi IPTS.
Statistik ini menunjukkan IPTS sememangnya merupakan pilihan pelajar untuk melanjutkan pelajaran dan merupakan institusi pengajian tinggi yang telah mengemukakan pelbagai tawaran dalam melanjutkan pengajian kepada rakyat Malaysia khususnya dan antarabangsa amnya.
Pencapaian universiti swasta semakin rancak sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Hal ini adalah kerana budaya kecemerlangan pengajaran, penyelidikan dan pengembangan yang telah sekian lama diamalkan oleh universiti
awam telah mula diterapkan pada universiti swasta.
Berdasarkan statistik KPT pada tahun 2020, terdapat 11 universiti swasta yang telah mendapat pengiktirafan 5 dan 6
bintang dalam Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA) bagi tahun 2019 daripada 23 universiti keseluruhan yang mendapat penarafan tersebut dan secara tidak langsung menunjukkan kehebatan universiti swasta.
Kecemerlangan ini pada dasarnya turut membantu kecemerlangan negara dalam melonjakkan lagi jenama pendidikan tinggi Malaysia untuk membantu ke arah sasaran
200,000 orang pelajar antarabangsa di masa hadapan.
Universiti swasta sememangnya dibangunkan di atas dasar menjadikan pendidikan tinggi negara sebagai satu industri yang boleh menjenamakan Malaysia di peringkat global.
Malah, negara-negara maju seperti di Amerika Syarikat, universiti swasta merupakan peneraju pendidikan tinggi negara tersebut dan nama mereka gah seantero dunia seperti Harvard University, Yale University dan Massachusetts Institute of Technology.
Sahutan untuk merevolusikan pendidikan tinggi negara selaras dengan Malaysia baru boleh dilihat di dalam usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyelaraskan laluan masa hadapan pendidikan di IPTA dan IPTS sebagai satu usaha yang holistik.
Atas dasar itu, maka satu jawatankuasa telah dibentuk dengan kerjasama KPM, Majlis Naib-Naib Canselor Universiti Swasta atau ia juga dikenali sebagai Vice Chancellors’ Council for Private University (VCCPU) telah dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Pendidikan pada 21 Februari 2019 bertempat di Dewan Za’Ba, Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya.
Jawatankuasa ini diwujudkan sebagai platform perundingan dalam meningkatkan martabat pendidikan negara. Penubuhan
Jawatankuasa ini merupakan usaha berterusan oleh KPM untuk mengukuhkan libat urus pihak universiti swasta dalam memastikan mutu pendidikan tinggi negara berada
pada tahap yang cemerlang.
Pro-Canselor Universiti MAHSA, Academician Professor Datuk Dr Khairul Anuar Abdullah telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Naib-Naib Canselor Universiti Swasta (VCCPU) bagi sesi 2019/2020. Pada 28 Oktober 2020, Academician Professor Datuk Dr Khairul Anuar Abdullah telah menamatkan perkhidmatannya secara persaraan wajib dan tempat beliau digantikan dengan Senior Academician Prof. Datuk Dr. Khalid Yusoff, FASc.
Jawatankuasa ini dianggotai oleh 14 Naib Canselor universiti swasta bertaraf universiti dan kampus cawangan luar Negara.
Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali pertama telah diadakan pada 17 Julai 2019 bertempat di Bilik Senat, UCSI University yang disertai seramai 27 naib canselor universiti swasta.
Manakala AGM kali ke-2 telah diadakan pada 11 Februari
2020 bertempat di Bilik Senat MAHSA University yang disertai seramai 29 naib canselor.
Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah bengkel hala tuju IPTS dan meneruskan kerjasama yang erat dengan beberapa agensi seperti Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Malaysia Quality Assurance (MQA), Education Malaysia Global Services (EMGS), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigiresen Malaysia (JIM).
VCCPU turut berperanan bagi membincangkan hala tuju dan tindakan yang perlu diambil bagi memastikan peningkatan kualiti sesebuah universiti swasta.
Seterusnya, Jawatankuasa ini juga berperanan sebagai sebuah platform bagi membolehkan pengurusan tertinggi universiti berbincang dan bertukar-tukar fikiran dalam membuat keputusan tentang pendidikan tinggi swasta negara.
Ia juga turut menjalankan aktiviti, program dan kajian untuk kepentingan pendidikan tinggi awam, pendidikan tinggi swasta dan universiti swasta.
Selain itu, ia memainkan peranan yang amat besar dan signifikan dalam melaksanakan pelbagai ketetapan, dasar dan strategi kerajaan dalam menjayakan transformasi masyarakat Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju.
Bagi memastikan kecemerlangan universiti swasta, maka satu dokumen hala tuju IPTS di Malaysia yang meliputi enam perkara telah dibangunkan bersama oleh KPT dan IPTS.
Enam perkara tersebut meliputi pengharmonian Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), pengantarabangsaan, tadbir urus, kelestarian serta inovasi.
Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), kedua-duanya di bawah dua akta yang berbeza untuk memenuhi objektif penubuhan iaitu Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996.
Penubuhan IPTA merupakan tanggungjawab kerajaan untuk memastikan rakyat Malaysia mempunyai akses ke pendidikan tinggi yang diberikan kepada semua golongan sama ada pelajar daripada keluarga berkemampuan ataupun keluarga B40. Sementara IPTS ditubuhkan untuk memberikan akses alternatif kepada golongan yang berkemampuan daripada dalam atau luar negara.
Ia dilihat sebagai pelengkap kepada keseluruhan sistem pendidikan tinggi di dalam negara.
Dalam konteks pengantarabangsaan pula, VCCPU menyambut baik cadangan kerajaan untuk menyediakan akses pendidikan berasaskan ekuiti serta pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
Permulaan abad ke-21 menyaksikan IPTS sebagai laluan majoriti pelajar dalam melanjutkan pelajaran mereka di peringkat yang lebih tinggi.
Oleh itu, IPTS sentiasa berusaha untuk meninggikan statusnya setaraf dengan universiti awam ataupun universiti luar negara. Berikutan itu, dasar pengantarabangsaan telah dimulakan lebih awal dengan usaha meramaikan bilangan pelajar asing untuk datang menuntut di Malaysia selaras dengan visi menjadikan Malaysia sebagai International Education Hub, dan membina lebih banyak cawangan universiti tempatan di luar negara dengan kaedah satelit universiti.
Bagi memperkasakan tadbir urus sesebuah organisasi, kecemerlangan sesebuah institusi dipacu oleh tadbir urus yang baik. Secara amnya dasar, peraturan dan tadbir urus IPTS seharusnya bersifat fasilitatif, memperkasa, memberi kesan dan mempunyai nilai tinggi agar IPTS terus unggul.
Dengan adanya Jawatankuasa VCCPU ini juga, kita akan sentiasa mempertingkatkan daya usaha untuk memantau kualiti keseluruhan program-program akademik yang ditawarkan oleh universiti-universiti swasta agar seiring dengan falsafah pendidikan Malaysia iaitu suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan.
Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Manakala bagi konteks kelestarian dan inovasi pula, universiti swasta berhasrat menjadikan inovasi sebagai peneraju utama pertumbuhan ekonomi negara.
Kolaborasi antara IPTA dan IPTS akan dapat mempergiatkan inovasi dan kecemerlangan institusi dari segenap sudut.
Selain itu, Jawatankuasa juga berhasrat untuk memperbanyakkan lagi kolaborasi kajian dengan universiti terkemuka di luar dan menggalakkan para akademik untuk menjadi profesor pelawat di universiti luar negara.
Usaha-usaha yang telah dibuat ini diharap dapat melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang mengalami tranformasi pendidikan berkesan dan mampu bersaing di peringkat global.
Dengan komitmen ahli Jawatankuasa VCCPU, dalam menyumbang idea mampu memperkukuhkan universiti swasta di Malaysia khasnya dan seluruh dunia amnya.
Melangkah ke hadapan, saya sependapat dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad dalam ucapannya sempena Majlis Amanat Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi 2021 bahawa perlunya penerapan nilai 5S iaitu speed, synergy, solidarity, strategic dan standard dalam sesebuah organisasi bagi memastikan enam perkara yang dibincangkan di atas perlaksanakan dengan jayanya.
SPEED merujuk kepada kepantasan dalam bertindak dan melaksanakan sesuatu tugasan dan kepantasan dalam membuat keputusan. SYNERGY adalah kebersamaan kita dalam setiap tindakan yang diambil.
Dalam kata lain,kita perlu bersatu hati dan mempunyai suara yang sama terhadap apa jua tindakan yang dibuat demi memartabatkan pendidikan swasta di mata dunia.
SOLIDARITY pula menekankan kepada keharmonian dalam bahagian, jabatan, universiti swasta dan juga agensi.
Budaya berpuak-puak atau berpolitik untuk menonjolkan diri atau amalan kerja secara silo juga hendaklah dielakkan.
STRATEGIC merujuk kepada amalan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita. Ini dapat dizahirkan melalui cara
berfikir atau bertindak dan membuat perancangan yang teliti dalam melaksanakan sesuatu tugas yang diberi.
STANDARD memfokuskan kepada penghasilan kerja,
budaya kerja dan sikap warga yang mementingkan kualiti dan akhirnya menghasilkan perubahan yang berimpak tinggi.
Hasrat jawatankuasa ini adalah murni, yakni memastikan sistem pendidikan yang berasaskan nilai, yang memanusiawikan pendidikan bagi membentuk warganegara yang menjadi kebanggaan rakyat dan bersedia menjadi sebahagian daripada masyarakat.
Kita sedang menyediakan generasi graduan yang kalis masa
depan dengan harapan mereka akan terus cekal.
Seterusnya, memastikan Malaysia sebagai sebuah negara membangun dan sedang meningkat maju dapat menyediakan sebuah ekosistem pengajian tinggi swasta yang bukan sahaja diiktiraf sebagai bertaraf dunia, malah mampu menjadi hab kecemerlangan pengajian tinggi serantau. – MalaysiaGazette
Profesor Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha FASc, FIEM
Naib Canselor, Universiti Tenaga Nasional
Setiausaha Agung, Majlis Naib-Naib Canselor Universiti Swasta