KUALA LUMPUR – Bekas penyerang Terengganu FC (TFC), Dominique Da Sylva kini diumumkan secara rasmi sebagai pemain baharu skuad Kuala Lumpur United (KLUFC) dalam saingan Liga Malaysia musim 2021.
Da Sylva telah menjaringkan sembilan gol dalam 10 perlawanan Liga Super musim lalu dan rekod tersebut telah menarik minat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KLUFC, Stanley Bernard untuk mendapatkan khidmatnya.
“KL adalah antara pasukan yang telah menunjukan minat yang tinggi dan buatkan saya seperti orang penting. Cara CEO bercakap dengan agen saya serta perancangannya untuk kelab telah menyakinkan saya. Dia pernah bermain bola sepak dan dia tahu apa yang pemain perlukan.
“Sudah tentu, saya akan melakukan yang terbaik. Saya tahu ia bukan mudah tetapi kami akan terus berjuang dengan bantuan semua pihak,” katanya dipetik dalam laman web rasmi KL United FC.
Pemain yang berusia 31 tahun itu turut berharap dapat turun menjalani latihan dengan skuad kendalian Bojan Hodak kerana beliau masih belum mengenali rakan sepasukannya.
“Saya tak tahu nama mereka lagi tetapi saya pernah bermain satu perlawanan persahabatan ketika Terengganu menentang KL. Sudah tentu, saya mahu jumpa mereka dan berkenalan dengan mereka. Saya tahu KL ada ramai pemain yang bagus,” tambahnya.
Mengulas mengenai sasarannya bersama skuad KLUFC, beliau bersikap realistik dan melakukan yang terbaik untuk membantu pasukan memenangi perlawanan.
“Seperti pemain lain, saya juga mahu memenangi kejuaraan, itu paling penting. Saya tahu KL datang dari Liga Premier, jadi jangan cuba untuk fikir jadi juara lagi. Pada musim pertama, kami mahu kekal dalam saingan Liga Super.
“Semua orang tahu saingan Liga Super bukan mudah tetapi kami mahu pastikan KL menjadi pasukan kuat, memenangi perlawanan dan menewaskan pasukan gergasi. Kami tak datang sini untuk berkawan tetapi kami disini untuk bekerja kerana bola sepak adalah kehidupan kami,” katanya. – MalaysiaGazette