Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah bercakap pada sidang media mengenai laporan polis yang dibuat tentang penafian bahawa semua peniaga akan berpindah ke kiosk Dataran Permai di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Sri Langkas Tambahan, Puchong, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 22 JANUARI 2021.

PUCHONG – Persatuan Penjaja Puchong Permai menyangkal dakwaan kononnya mereka telah bersetuju untuk berpindah ke lokasi baharu seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah membidas dakwaan yang dikatakan datang dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Dr. Siti Mariah Mahmud dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

“Sudahlah begitu kelentong pula dengan mendakwa kononnya semua peniaga sudah bersetuju untuk berpindah ke kiosk yang dulunya dijual kini diberikan secara percuma tanpa bayaran.

“Mereka semua ini pandai berlakon, saya mohon supaya Menteri Selangor tidak tertipu dengan lakonan-lakonan ini, kita masih lagi tunggu pertemuan antara Tan Sri Noh Omar denga Menteri Besar dalam masa terdekat untuk isu ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Penjaja Puchong Permai, Ismail Awang.

Selain itu, Mohd Ridzuan juga membidas tindakan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang bertindak menyaman peniaga yang masih berniaga di Bulatan Permai.

“Menteri Besar sudah tangguh perobohan, itu yang sebetulnya lagi-lagi sudah PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan darurat jadi mengapa pula MBSJ menyaman peniaga yang sedang menderita ketika ekonomi merudum ini?

“Mengapa pula saman dikeluarkan ketika musim PKP? Pada 17 Januari pula, ADUN Seri Serdang bersama-sama Datuk Bandar MPSJ buat majlis serah kiosk juga pada musim PKP?

“Bukankah ini semua melanggar SOP yang telah ditetapkan? Mengapa mereka ini tidak kena apa-apa hanya rakyat sahaja jadi mangsa?” soalnya.

Justeru, pihaknya tidak akan berdiam diri dan akan membuat laporan polis mengenai perkara itu dan tidak teragak-agak untuk menghantar surat kepada Majlis Keselamatan Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dalam masa terdekat.

“Jangan buat begini kepada peniaga-peniaga ini lagi ketika musim Covid-19 seperti ini,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Ismail, ada dakwaan kononnya Siti Mariah telah memaklumkan semua peniaga di Bulatan Permai telah bersetuju berpindah ke Dataran Permai baru-baru ini.

Katanya, peniaga yang bersetuju hanya tiga orang sahaja manakala yang bakinya masih lagi belum memberi sebarang jawapan.

“Kami tidak faham bagaimana ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ADUN Seri Serdang bersama-sama Datuk Bandar Subang Jaya, Noriani Roslan telah mengadakan sebuah majlis penyerahan kiosk pada 17 Januari lepas.

“Sudahlah ketika itu ramai pengunjung pasar pagi yang kemudian mereka buat dakwaan kononnya semua peniaga Bulatan Permai sudah bersetuju untuk berpindah walhal kami sendiri tidak tahu tentang majlis itu.

“Malah yang kami pasti yang bersetuju untuk pindah ke kiosk itu hanya tiga orang sahaja, jadi mengapa kata semua sudah bersetuju? Bilakah Dr Mariah berjumpa dengan sebahagian besar peniaga Bulatan Permai?

“Hanya tiga sahaja bersetuju yang lain-lain tidak, dakwaan Dr Mariah kononnya ramai telah bersetuju pindah tidak benar sama sekali, itu adalah dusta,” katanya dalam sidang media yang sama.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast