H. Puvaniten

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta memantau harga barangan ketika negara sedang berhadapan dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan kenaikan harga barangan runcit dan basah.

Ketua Biro Perpaduan Nasional Parti Gerakan, Puvaniten Helan Govan berkata, berdasarkan tinjauan harga barangan basah seperti sayur-sayur dan ikan dan barangan runcit seperti bawang adalah naik kecuali barangan harga terkawal yang sedia ada.

”Walaupun Kerajaan membantu rakyat dengan pelbagai jenis bantuan prihatin khas, namun pemantauan harga barangan juga perlukan dilakukan. Kalau harga barangan terus meningkat bagaimana bantuan yang diterima ini mencukupi untuk rakyat menyara hidup terutamanya bagi mereka yang tidak bekerja atau hilang pekerjaan,” katanya.

Kenaikan harga barang ini memberi dilema kepada pengguna terutama golongan B40 dan M40.

Oleh itu, Puvaniten menggesa kerajaan meneliti kembali kaedah yang sesuai bagi mengekang kenaikan harga barang di dalam tempoh PKP ini.

Katanya, rakyat berdepan dengan pelbagai jenis kesukaran dan pada masa yang sama terpaksa menghadapi situasi kenaikan harga barangan.

Ketika rakyat hilang pendapatan, perasaan bimbang turut ditimpa dengan beban perbelanjaan isi rumah yang tinggi.

”Semuanya naik itulah kesimpulan yang boleh dibuat hasil tinjauan di beberapa kedai runcit, pasar basah dan pasar raya.

“Kenaikan harga barang ini jika tidak dipantau dengan teliti oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dikhuatiri akan menjejaskan kehidupan isi rumah yang berpendapatan kecil dan keluarga yang terjejas akibat pandemik ini”.

Puvaniten berkata, KPDNHEP bukan sahaja perlu memantau bekalan barangan pengguna perlu mencukupi sewaktu ini malah, memastikan peniaga tidak menaikkan harga barangan ketika rakyat di negara ini masih lagi terkesan dengan pandemik Covid-19.

Sebagai salah satu kementerian di bawah kerajaan, KPDNHEP mesti meletakkan kepentingan pengguna mengatasi keuntungan peniaga yang mengambil kesempatan di sebalik kesukaran rakyat, tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast