Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF), Tukiman Radion bercakap di sidang media Persatuan Kontraktor Kelas F Malaysia di Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto IMRAN FAKHRI, 19 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Persatuan Kontraktor Bumiputer Kelas F Malaysia (PERKOBF) memohon agar pelaksanaan syarat sijil teknikal dan MCORE ditangguhkan atau dibatalkan demi kelangsungan hidup kontraktor G1 Bumiputera.

Presidennya Tukiman Radion mendakwa kedua-dua syarat baharu ini hanya memihak kepada kontraktor besar sebaliknya tidak membantu kontraktor G1 Bumiputera.

Sebaliknya, kata beliau, apa yang diumum oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) seolah-olah mahu mematikan kontraktor Kecil G1 Bumiputera.

“Seharusnya pakej inisiatif yang diumumkan oleh CEO CIDB perlu lebih memberi perhatian kepada kontraktor G1 Bumiputera kerana jumlah keseluruhannya sebanyak 34000 di seluruh negara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini

Jelas beliau,  syarat teknikal sepatutnya tidak diwajibkan kepada kontraktor G1 Bumiputera sedia ada memandangkan kumpulan ini sudah mempunyai pengalaman dalam bidang binaan 10-30 tahun.

“Penilaian Kecekapan Kemahiran Kontraktor dibuat melalui pengalaman kerja kontraktor tersebut bukan melalui Sijil,” katanya.

MCore pula tambah beliau, hanya akan memberi implikasi kewangan kepada kontraktor G1 Bumiputera kerana syarat yuran pemprosesan yang membebankan.

“Yuran pemprosesan dikenakan sebanyak RM50. Jika gagal kontraktor perlu membuat rayuan. Yuran rayuan pula dikenakan RM300 dan sekiranya rayuan gagal, syarikat tidak boleh memohon lagi selama tiga bulan,” tambah beliau.

Katanya lagi, dalam keadaan pandemik Covid-19 ini CIDB harus tampil memudahkan urusan kontraktor bukan menambah syarat baru yang merumitkan dan menyusahkan kontraktor G1 Bumiputera.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast