Seorang warga emas yang mengalami kemurungan sejak disahkan positif Covid-19 sebanyak dua kali ditemui mati berlumuran darah dengan kesan kelar di tengkuk di rumahnya di Seri Kembangan hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas yang mengalami kemurungan sejak disahkan positif Covid-19 sebanyak dua kali ditemui mati disyaki membunuh diri di rumahnya di Seri Kembangan hari ini.

Mangsa ditemui berlumuran darah dengan kesan kelar pada tengkuknya.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, kejadian berlaku di rumah teres dua tingkat milik mangsa di Jalan Bandar Putera Permai 1/6, Bandar Putera Permai Seri Kembangan.

Menurutnya, mangsa sebelum itu sering mengadu kepada isterinya yang dirinya tidak sanggup menderita dengan Covid-19 dan lebih baik mati.

Katanya, rumah itu hanya didiami mangsa berusia 66 tahun bersama isterinya.

“Polis menyiasat dan tiada sebarang kesan pecah masuk dan umpilan, tiada sebarang barangan berharga hilang di dalam rumah manakala rumah juga dalam keadaan yang teratur dan soal siasat jiran juga tidak mendengar sebarang bunyi pertengkaran ataupun orang menjerit.

“Siasatan polis mendapati mangsa telah membuat ujian calitan Covid-19 di hospital swasta pada 7 Januari lalu sebelum didapati positif keesokan harinya manakala dia menjalani ujian caltan kali kedua pada 18 Januari lalu dan keputusan pada 20 Januari lalu sekali lagi menunjukkan si imati (mangsa) masih positif.

“Mangsa telah membayar kos yang tinggi di hospital swasta untuk rawatan Covid dan sering mengatakan kepada isterinya bahawa dirinya lebih baik mati,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Razali, sebelum meninggal dunia, mangsa dipercayai telah mengajak isterinya ke sebuah bank berhampiran untuk mengeluarkan wang sebanyak RM40,000 hari ini untuk perbelanjaan rawatan diri sendiri.

Isteri mangsa juga mengatakan suaminya sering mengadu kesakitan dan berada dalam keadaan murung sejak disahkan positif Covid-19.

Menurutnya, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi telah masuk ke rumah mangsa bersama pegawai kesihatan sebelum membuat pemeriksaan lanjut.

“Hasilnya mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang berlaku dan mangsa telah didapati mati akibat kesan kelar pada tengkuk dan pisau masih berada di sebelah si mati.

“Mayat telah dihantar ke Hospital Serdang untuk proses autopsi dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga menunggu laporan bedah siasat itu,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast