Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Bentong dan kuarters kakitangannya bermula esok sehingga 8 Februari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan itu atas nasihat dan penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ia juga untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan serta kontak rapat yang terlibat untuk memastikan tiada jangkitan dalam komuniti.

“Standard prosedur operasi (SOP) PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri menambah, KKM hari ini telah melaporkan berkenaan dengan peningkatan kes positif Covid-19 di Penjara Bentong.

Menurut beliau, sehingga kini, sebanyak 615 kes positif telah direkodkan yang melibatkan 574 tahanan, 34 kakitangan serta lima ahli keluarga.

“KKM turut mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak jangkitan Covid-19 dalam masa singkat dalam kalangan tahanan di penjara ini,” katanya. – MalaysiaGazette