Majlis penyerahan balas dokumen Perjanjian Kerjasama (MoA) di antara Greensnow Technology Sdn. Bhd. (GTSB) dan kerajaan Malaysia secara virtual hari ini.

KUALA LUMPUR – Kepakaran yang dimiliki oleh penyelidik nuklear di negara ini serta fasiliti-fasiliti makmal termasuk peralatan-peralatan saintifik yang terdapat di Nuklear Malaysia boleh membantu dalam melakukan penyelidikan nadir bumi.

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr Siti A’iasah Hashim berkata, sejak kebelakangan ini nadir bumi telah menarik perhatian pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan industri berkaitan.

“Nuklear Malaysia menyambut baik lamaran pihak GTSB menjalankan penyelidikan untuk meluaskan industry Nadir Bumi di Malaysia.

“Diharapkan hasil penyelidikan ini akan dapat mencetuskan industry baru yang boleh menyokong usaha ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan balas dokumen Perjanjian Kerjasama (MoA) di antara Greensnow Technology Sdn. Bhd. (GTSB) dan kerajaan Malaysia secara virtual hari ini.

Agensi Nuklear Malaysia yang menjalankan penyelidikan dan pembangunan ujian rintis perlombongan Nadir Bumi Tidak Beradioaktif (NR REE) di negara ini mewakili kerajaan Malaysia pada majlis tersebut.

Siti A’iasah berkata, kerjasama antara agensi kerajaan dan swasta seharusnya disokong oleh kerajaan dengan memberikan insentif galakan.

Sehubungan itu beliau berkata, Nuklear Malaysia bercadang memohon kepada Kementerian Kewangan, melalui MOSTI, agar potongan cukai dua kali dapat diberikan kepada syarikat-syarikat yang membiayaai projek pembangunan dan penyelidikan secara kerjasama dengan agensi itu.

Sementara itu, pada majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif GTSB, Datuk Nik Abdul Mubin Nik Mahmood berkata, di dalam menjalankan beberapa penyelidikan dengan Agensi Nukear Malaysia, pihaknya bersetuju untuk membiayai kos berkaitan yang berjumlah RM450,000.

Katanya, jumlah wang yang dikeluarkan adalah bagi membiayai aktiviti penyelidikan dan kajian peringkat awal.

“Pihak kami amat yakin dengan adanya data-data dan maklumat hasil daripada kajian penyelidikan itu dapat membantu kedua-dua belah pihak yang mana Agensi Nuklear boleh menggunakan data-data tersebut dalam melakukan kajian yang lebih lanjut berkaitan unsur-unsur nadir bumi.

“Ini adalah amat bertepatan dan selari dengan aspirasi kerajaan iaitu pembangunan perlombongan mineral nadir bumi yang mampan disamping mengekalkan kelestarian alam sekitar dan keselamatan orang ramai,” ujarnya. – MalaysiaGazette