KUALA LUMPUR – Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat mengambil inisiatif menyediakan khidmat pengangkutan trak sejuk dan lori biasa bagi mengangkut hasil-hasil pertanian peladang ketika pandemik Covid-19.
Menerusi kenyataan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) memaklumkan, PPHP itu beroperasi setiap hari bagi memastikan sayuran petani dapat dijual di pasaran serta sentiasa memastikan kualiti sayuran terjamin selaras dengan fokus utamanya iaitu menjalankan aktiviti pemborongan sayur-sayuran.
“Perkhidmatan yang disediakan di PPHP PPK Kuala Langat ini bukan sahaja dapat memastikan hasil keluaran peladang terjamin malah dapat memastikan peladang mendapat pulangan yang memuaskan daripada usaha yang dijalankan.
“Disamping itu, perkhidmatan PPHP juga akan menjadi pemangkin bagi menggalak dan mendorong para peladang untuk menceburi bidang pertanian berskala besar dengan mengguna teknologi moden yang sesuai,” katanya.
Tambahnya, sehingga kini, PPHP PPK Kuala Langat mempunyai rangkaian pemasaran yang luas meliputi pasaran ke rangkaian Segi Fresh, Pasaraya Giant, Pasar Borong di Meru dan Selangor, kilang NESTLE, FAMA Selayang dan pasar-pasar tani.
Beliau berkata, sebanyak 1.3 juta polybag cili telah diusahakan oleh 700 orang petani dan hasil ladang tersebut telah dipasarkan ke PPHP PPK Kuala Langat dan secara langsung dapat membantu PPHP dalam memenuhi keperluan pasaran khususnya pasaran cili
dalam negara.
Terdahulu, hari ini Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee melawat Pusat PPK Kuala Langat bagi melihat sendiri operasi pusat itu yang berperanan membantu memasarkan hasil-hasil pertanian ahli Pertubuhan Peladang.
PPHP diwujudkan oleh LPP sebagai pusat pengumpulan hasil keluaran pertanian dan platform bagi ahli-ahli peladang menyelesaikan masalah berkaitan pemasaran yang dihadapi.
Peranan PPHP itu adalah untuk membantu petani memasarkan dan menjual sendiri produk mereka terus kepada pengguna dengan menyediakan perkhidmatan kutipan hasil-hasil pertanian terus dari ladang atau kampung-kampung dengan menggunakan
pengangkutan PPK.
Selain itu, fungsi PPHP ini amat penting dalam membantu mengurangkan penglibatan orang tengah yang menguasai 10 hingga 30 peratus pulangan ke atas setiap ringgit dan menjamin kecukupan bekalan dan pengedaran agromakanan selain membantu dalam meluaskan pasaran produk makanan ke pasaraya. – MalaysiaGazette