KUALA LUMPUR – Pusat pemborong utama di ibu negara yang sebelum ini meriah dengan pelanggan kini sunyi sepi sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang sudah memasuki minggu ketiga.
Tinjauan Malaysia Gazette di Kenanga Fashion Wholesale (KWC) di Jalan Gelugor, dekat sini mendapati jumlah pengunjung boleh dikira dengan jari kerana banyak kedai tidak beroperasi.
Beberapa peniaga yang ditemui mengeluh dengan situasi semasa yang menyebabkan pendapatannya terjejas teruk.
Disebabkan itu, seorang pembantu kedai jamu, Maria Jamil, 27, berkata, majikannya terpaksa meminta pemilik premis mengurangkan bayaran sewa.
“Kami tiada jualan dalam talian, jadi kami hanya mengharapkan pengunjung yang datang. Namun, jumlah jualan harian yang diperolehi masih tidak boleh menampung bayaran sewa kedai.
“Kami pun faham pemilik kedai juga peniaga seperti kami, tetapi kami tidak ada jalan lain untuk bertahan,” katanya.
Pengurus kedai, Nur Hidayah Mohd Noor, 27, berkata, jumlah pengunjung di pusat beli-belah itu semakin berkurangan sejak hari pertama pelaksanaan PKP.
“Sekarang saya hanya mengharapkan perniagaan dalam talian sahaja, kerana di sini pemborong yang datang pun hanya seorang, dua sahaja.
“Lagipun dengan prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh kerajaan, kedai hanya dibuka dari pukul 7 pagi sehingga 6 petang sahaja berbanding sebelum ini kami buka sehingga pukul 8 malam,” katanya yang ditemui di sini.
Dalam masa sama, pembantu kedai, Anis Mohd Azam, 21, berkata, nasib peniaga-peniaga di sini sama sahaja.
“Terdapat lot-lot kedai yang dibuka atas kebenaran, manakala sebahagian pula tutup mengikut inisiatif pihak pengurusan masing-masing kerana kekurangan pelanggan.
“Faktor pelanggan menyebabkan ramai pekerja terpaksa dibuang,” ujarnya.
Anis menambah, untuk meraih jualan sehari sebanyak RM500 pun sukar tetapi terpaksa bertahan.
“Penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat telah memberi kesan yang getir kepada peniaga. Tapi hendak buat macam mana, semua orang mengambil langkah berjaga-jaga,” tambah beliau.
Sementara itu, pengunjung, Zulkarnain Mohd, 58, yang kerap membeli-belah di sini berkata, pilihan barangan yang ada di sini nampak terhad.
“Dulu banyak kedai dan banyak pilihan. Sebagai pelanggan, saya beli apa sahaja yang ada.
“Beli secara talian bukan cara saya kerana kadang-kadang yang sampai tidak sama dengan gambar, bahkan kualti kain juga berbeza.
”Sebab itu saya lebih suka memilih membeli barangan di pusat membeli belah kerana boleh membuat banyak pilihan,” ujarnya. -MalaysiaGazette
Bila lah piem dgn anggota kabinet dia nk resign… Totally fail!!!.. Kulit korng mmg tebal x tau malu