KUALA LUMPUR – Seorang wanita sedang sarat mengandung tujuh bulan terjatuh ketika sedang menunggang seekor kuda.

Berdasarkan video yang tersebar di Twitter, wanita berkenaan yang dikenali sebagai Nor Azila Mohamed Azmi sedang menunggang seekor kuda namun secara tiba-tiba tergelincir.

Insiden itu menyebabkan kalangan pengguna laman sosial melahirkan kebimbangan terhadap wanita tersebut terutama kondisi anak yang dikandung dalam perutnya.

Ingin menjelaskan perkara sebenar, Nor Azila yang juga pengasas produk Secret Correatampil memberikan penjelasan mengenai apa sebenarnya yang berlaku.

“Sesuatu yang luar biasa terjadi apabila video saya terjatuh dari kuda itu sebenarnya tergelincir. Saya menerima banyak panggilan telefon daripada keluarga dan kawan-kawan yang mengambil berat tentang keadaan saya.

“Saya faham mungkin sebab saya tengah sarat mengandung tujuh bulan sebab itu ramai yang risaukan keadaan saya.

“Alhamdulillah, saya okey sahaja, tiada yang serius, syukur kepada Allah. Masa dapat tahu video saya tular dan pertama kali kena kecam memang tak terhadam membaca komen-komen netizen yang kata sendiri cari pasal, cari penyakit dan pelbagai lagilah.

“Mujurlah emosi ibu mengandung tak terganggu sangat. Bagi yang beri kata-kata semangat dan mendoakan kandungan saya selamat, alhamdulillah terima kasih,” tulis di media sosialnya.

Sementara itu, Nor Azila berpendapat sukan berkuda sesuai untuk wanita hamil namun dengan pengawasan yang rapi dan sukan itu sudah sebati dalam dirinya.

“Sebenarnya menunggang kuda ketika hamil ini bukan tak boleh tapi cuma perlu berhati-hati. Macam dalam video tu saya terlebih pergerakan dan berlaku kesilapan teknikal hingga tergelincir.

“Saya seorang penunggang kuda dan memiliki seekor kuda bernama White Rose. Rose ibarat anak saya dan sudah berbulan-bulan tidak datang menjenguknya.

“Menunggang kuda masa mengandung bagus sebab bantu perbetulkan posisi badan ibu hamil selain memudahkan proses bersalin juga. Kuda hanya suka pada orang yang tenang. Lagipun tunggang kuda sebahagian daripada amalan sunnah dan mengajar kita sifat kepimpinan,” ujarnya.

Difahamkan, kejadian mendebarkan itu berlaku di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Rubinga Equine Centre (MREC), Serdang. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.