Produk jenama Premeo

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) menerusi anak syarikatnya Delima Oil Products Sdn Bhd (DOPSB) mensasar untuk memperluaskan segmen hilirannya menerusi produk-produk nilai tambah ke rantau Asia Pasifik dengan memperkenalkan tiga produk industri baharu yang berasaskan tumbuhan di bawah jenama Premeo

Produk berkenaan iaitu gantian lelemak haiwan, gantian lelemak tenusu dan minyak gorengan, telah diformulasikan sebagai gantian lelemak berasaskan tumbuhan yang lebih sihat bagi pengilang makanan dan pencuci mulut, dan juga untuk kegunaan industri yang kerap menggunakan gorengan seperti restoran perkhidmatan segera.

Pengenalan rangkaian produk baharu Premeo ini selaras dengan hasrat FGV dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap produk lelemak dan minyak berasaskan tumbuhan berkualiti tinggi khususnya dalam sektor makanan sejuk beku dan pencuci mulut di negara-negara seperti Korea Selatan dan Jepun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, dengan produk baharu Premeo ini, pengeluar makanan akan dapat menawarkan produk bergred tinggi dengan pelbagai manfaat kesihatan seperti bebas dari kandungan patogen dan mikrob perosak.

Ia dibangunkan menerusi penyelidikan secara khusus di Pusat Inovasi FGV di Nilai, Negeri Sembilan, lelemak dan minyak khas ini menawarkan pilihan kepada para pelanggan industri iaitu bebas daripada kandungan kolesterol secara semulajadi, kaya dengan vitamin E, serta tidak mengandungi lelemak tepu

”Gantian lelemak kami membekalkan fungsi dan tekstur yang sama seperti lelemak tenusu dan haiwan, selain menambahkan lagi khasiat pemakanan pada harga yang berpatutan. Bagi minyak gorengan premium pula, ia terbukti mampu menggoreng dengan lebih lama dan ini memberikan lebih nilai kepada para pelanggan serta menghasilkan gorengan yang lebih baik,” katanya.

Gantian lelemak haiwan Premeo adalah lelemak berasaskan sayuran berkualiti tinggi yang mempunyai rasa seakan-akan lelemak haiwan di dalam produk makanan.

Lelemak haiwan alternatif dengan harga berpatutan ini dihasilkan daripada minyak sawit, ia direka dan diformulasikan secara saintifik untuk menggantikan sama ada lelemak daging mentah atau lelemak ayam dalam pembuatan produk khas daging emulsi dan produk khas berbentuk daging.

Gantian lelemak tenusu Premeo pula merupakan lelemak sayuran berasaskan sawit yang menyamai fungsi lelemak susu, sambil menawarkan pengganti lelemak tenusu yang lebih sihat dan ekonomi daripada lelemak tenusu yang biasa digunakan dalam penghasilan produk pencuci mulut sejuk beku.

Sementara itu, Minyak Gorengan Premeo pula ialah minyak masak gred premium yang dihasilkan menerusi buah kelapa sawit yang dituai khusus dan diproses dalam tempoh yang amat singkat bagi mencapai kandungan bebas asid lemak yang rendah.

Ini dapat mengurangkan sisa buangan minyak, meningkatkan produktiviti dengan 40 peratus tempoh tambahan untuk menggoreng apabila minyak ditambah, dan lebih menjimatkan kos sehingga 20 hingga 40 peratus. – MalaysiaGazette