KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur memberi amaran kepada peniaga kelengkapan elektronik dan komunikasi supaya tidak menaikkan harga sesuka hati berikutan berlaku peningkatan permintaan ketika ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya Zubir Hamsa berkata mereka yang dikesan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 14 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
“Baru-baru ini KPDNHEP menerima maklumat berhubung aduan kenaikan harga barangan kelengkapan elektronik dan komunikasi berikutan peningkatan permintaan terhadap barangan itu di pasaran, termasuklah komputer meja, komputer riba, tablet, mesin pencetak dan telefon bimbit.
Beliau berkata KPDNHEP juga melaksanakan pemeriksaan pematuhan harga kelengkapan elektronik dan komunikasi menerusi Op Catut 8.0 di sekitar ibu negara sejak Isnin lepas.
“Pemeriksaan ini bertujuan memantau dan memastikan peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.
Zubir berkata pihaknya akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengguna dapat menikmati barangan keperluan pada harga yang berpatutan.
“Pengguna juga dinasihatkan supaya membuat pemilihan yang bijak dan bandingkan harga sebelum membuat pembelian,” katanya.
— BERNAMA