KUALA LUMPUR – Tiga band tempatan dengan ahli kumpulan berasal dari Sabah dan Sarawak akan bekerjasama dalam satu projek muzik yang dinamakan Roads To Our Heritage (RTOH) -mengandungi tiga album dan satu projek dokumentari bersiri.
Kumpulan muzik, Estranged, Stonebay dan Alena Murang, masing-masing akan mengeluarkan satu album yang memaparkan pengaruh muzik di Sabah dan Sarawak dalam siri dokumentari bertemakan muzik yang dihasilkan oleh Estranged Sdn Bhd.
Estranged Sdn Bhd dalam kenyataan di sini hari ini berkata projek itu disokong sepenuhnya oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di bawah pembiayaan Dana Kandungan Digital (DKD) bagi industri muzik.
“RTOH akan diterbitkan sebagai dokumentari bersiri yang akan ditayangkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM). Ia akan merakamkan perjalanan yang dilalui oleh Alena Murang, Estranged dan Stonebay dengan motosikal berjenama Triumph dan sebuah kereta, bermula di Kota Kinabalu, Sabah sementara bahagian kedua perjalanan akan bermula di Kuching, Sarawak.
“Siri itu yang akan mengambil tempoh produksi selama 14 hari meliputi perjalanan lebih 1,000 kilometer perjalanan. Ia akan memaparkan temu ramah secara lebih dekat dengan pembuat seni alat muzik tradisional Sabah dan Sarawak, mendekati budaya dan akar umbi tradisional tempatan juga mempamerkan keindahan suasana perjalanan yang dilatari muzik oleh ketiga-tiga band itu,” menurut kenyataan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, penggambaran dijadual bermula pada awal 2021 dan kumpulan itu juga akan disertai penyelidik utama Fakulti Muzik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Nadia Widyawati Madzhi yang merupakan rakan kajian RTOH, bertujuan untuk mendokumentasikan peralatan muzik tradisional dan pembuatnya sebagai rujukan pendidikan dan simpanan untuk rujukan generasi akan datang.
Mengulas mengenai projek itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata DKD disasarkan untuk memberi sokongan serta peluang untuk industri kreatif menjana semula ekonomi kreatif yang telah terkesan oleh pandemik COVID-19.
“Pada masa yang sama, mempercepatkan usaha digitalisasi dalam semua aspek termasuk media, kesenian serta penciptaan kandungan. Ia juga akan membuka peluang penerimaan serta memanfaatkan inovasi dan teknologi baharu dan pemikiran di luar kotak,” katanya.
Beliau berkata kerajaan memahami betapa pentingnya keperluan untuk memulihara warisan kebudayaan sambil mengguna pakai kaedah baharu serta inovasi dalam penciptaan kandungan.
“Maka melalui dokumentari muzik RTOH diharapkan ia akan menjadi satu penanda aras yang diletakkan oleh para pemuzik itu sendiri kepada industri kreatif sebagai satu cara bagi memulihara warisan untuk generasi masa hadapan sambil menyesuaikan dengan inovasi baharu dan teknologi dalam produksi mereka,” katanya.
Projek itu juga mendapat sokongan daripada pelbagai organisasi termasuk Telekom Malaysia Berhad (TM) sebagai Rakan Strategik.
Untuk maklumat terkini mengenai projek itu, orang ramai boleh mengikuti platform media sosial mereka di Facebook (https://facebook.com/RTOH2020), Twitter (https://twitter.com/RTOH2020) dan Instagram (https://www.instagram.com/roadstoourheritage/).- BERNAMA