KUALA LUMPUR – Bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David hampir meraih gelaran Anugerah Altet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia dengan kedudukan selesa dalam undian yang dijalankan secara dalam talian.
Meskipun merupakan wakil tunggal dari rantau Asia, juara dunia skuasy lapan kali itu memperoleh sebanyak 240,296 undi setakat pukul 2 petang tadi, sekali gus mendahului saingan dengan kelebihan lebih 100,000 undi.
Pencabar terdekatnya, James Kehoe dari Ireland yang mewakili sukan tarik tali dengan 97,140 undi, diikuti oleh Marcel Hassemeier dari Jerman (penyelamat nyawa) dengan 78,686 undi dan atlet angkat besi wanita, Larysa Soloviova dari Ukraine dengan 68,220 undi.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu adalah antara 23 calon yang mewakili sukan masing-masing dalam sejarah 40 tahun temasya sukan itu. Percalonan mereka dilakukan oleh persekutuan sukan antarabangsa masing-masing.
Atlet berusia 37 tahun kelahiran Pulau Pinang yang telah berada pada kedudukan nombor satu dunia selama sembilan tahun itu, adalah antara 23 calon atlet terbaik mewakili pelbagai sukan – dalam sejarah 40 tahun temasya Sukan Dunia.
Undian boleh dibuat menerusi https://www.theworldgames.org/awards/The-World-Games-Greatest-Athlete-of-All-Time-81 yang akan ditutup pada Isnin (1 Februari) pukul 2 petang Waktu Eropah Tengah (CET) atau pada pukul 9 malam, waktu Malaysia.
“Anda boleh mengundi calon di laman The World Games setiap 24 jam sekali. Undian perlu diberikan kepada dua calon setiap kali anda mengundi: dua undi untuk calon pilihan pertama dan satu undi untuk calon pilihan kedua.
”Sekiranya anda memberikan undi kepada satu calon sahaja, undi anda tidak akan didaftarkan,” menurut The World Games. – Bernama