Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menamatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti, iaitu masing-masing di Muar, Johor dan Taiping, Perak, hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua lokaliti itu ialah Asrama Pekerja Kejora Juara, Bukit Pasir, Muar dan Blok Gemilang, Blok Harapan, Blok Jaya dan Blok Abadi (PKRC) di Pusat Koreksional Kamunting (KEMTA), Taiping, Perak.

Penamatan itu dibuat berikutan kes positif Covid-19 yang direkodkan di dua kawasan berkenaan menunjukkan trend penurunan, selain atas nasihat penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sebelum ini kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di Asrama Pekerja Kejora Juara, Bukit Pasir, Muar, Johor yang dijadualkan tamat hari ini.

“Selepas KKM melaksanakan 2,258 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 1,837 kes positif Covid-19 telah direkodkan dengan semua pesakit yang dimasukkan ke wad dan isolasi di PKRC telah sembuh sepenuhnya, maka tiada lagi sampel menunggu keputusan.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kita bersetuju untuk menamatkan PKPD di lokaliti ini pada hari ini juga,” katanya dalam kenyataan media harian perkembangan Covid-19, hari ini.

Kata beliau, penamatan PKPD di lokaliti Pusat Koreksional Kamunting daimbil selepas KKM mengesahkan semua tahanan yang ditempatkan di PKRC KEMTA telah sembuh serta telah discaj, maka tiada lagi kes positif baharu dilaporkan.

Mengenai saringan wajib pekerja warga asing, Ismail Sabri berkata, beliau dimaklumkan oleh Kementerian Sumber Manusia, bahawa seramai 7,217 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, 116 orang disahkan positif Covid-19.

Secara kumulatifnya, kata beliau, sejak 1 Disember lalu sehingga semalam, seramai 242,500 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 10,051 majikan.

Daripada jumlah itu, 4,602 orang telah disahkan positif Covid-19, manakala 237,898 lagi adalah negatif.

“Sehingga kini juga, sebanyak 887 klinik telah terlibat dengan program saringan ini.

“Ia selari dengan arahan kerajaan mewajibkan semua pekerja warga asing khususnya di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan menjalani ujian saringan dan kos ujian saringan ditanggung oleh majikan masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette