KUALA LUMPUR – Berikutan pengumuman pakej rangsangan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) – sektor telekomunikasi terus menunjukkan komitmen teguh untuk bersama-sama memudahkan capaian Internet untuk golongan pelajar dan B40.
Beberapa inisiatif dilaksanakan bagi meringankan beban rakyat ketika mengharungi tempoh mencabar berikutan langkah kawalan Covid19 yang terpaksa dilaksanakan oleh kerajaan, kata Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC).
Pemberian data percuma 1GB sehari yang telah dimulakan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi utama sejak April 2020 dilanjutkan sehingga hujung April 2021 dengan kos untuk tahun 2021 sahaja mencecah RM500 juta.
Pakej langganan khas untuk pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) turut dilaksanakan sejak 6 Januari 2021 hingga akhir April ini.
Pakej prabayar oleh Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan Telekom Malaysia (TM) ini menawarkan pas data 15GB dengan harga serendah RM20 sebulan.
Menyedari kepentingan pendidikan untuk menjamin masa depan rakyat dan negara, syarikat-syarikat telekomunikasi sebelum ini juga telah menyediakan kelas-kelas tuisyen dalam talian secara percuma seperti berikut:-
No. Syarikat Telekomunikasi Program
1. Celcom Tuisyen Rakyat
2. Digi Jom Tuisyen
3. Maxis e-Kelas
4. Telekom Malaysia I-Learn Ace
Sementara itu, YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL) melanjutkan inisiatif Learn From Home (LFH) sehingga 30 April 2021 dan turut merangkumi penuntut IPT.
Bagi memberi kemudahan kepada pelajar dan warga B40 yang mendiami kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR), kerajaan dan syarikat telekomunikasi juga bersetuju melanjutkan tempoh operasi 54 Pusat Internet Komuniti (PIK) di kawasan PPR di seluruh negara.
Sejak 8 Januari 2021 hingga hujung April 2021, PIK telah dibuka dari jam 9 pagi hingga 9 malam setiap hari kecuali pada hari cuti umum.
Daripada jumlah tersebut, 17 PIK berada di Wilayah Persekutuan dan baki 37 PIK berada di lain-lain negeri.
“Diharapkan langkah ini dapat membantu isi rumah dan
pelajar terutamanya calon-calon peperiksaan SPM dan STPM 2021 untuk mengikuti pembelajaran serta melakukan urusan harian secara dalam talian dengan murah dan selesa di PIK,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, sejumlah 130 PPR di seluruh negara telah dikenal pasti untuk menerima akses wifi percuma yang dipasang oleh syarikat-syarikat telekomunikasi utama yang telah sudi untuk membantu.
Setakat ini, wifi percuma di 121 PPR telah beroperasi manakala baki sembilan (9) PPR dijangka menerima kemudahan ini pada 5 Februari depan.
Ianya dilaksanakan bagi merangsang keupayaan penduduk PPR menggunakan platform dalam talian untuk meningkatkan kegiatan ekonomi, peka dengan perkembangan semasa dan menambah kemahiran.
Dengan kemudahan dan keistimewaan ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan syarikat-syarikat telekomunikasi yang sentiasa prihatin, berharap penduduk PPR, para pelajar dan seluruh rakyat amnya, dapat memanfaatkannya ke arah meningkatkan pencapaian akademik serta menjana pendapatan tambahan menerusi
aktiviti perniagaan dalam talian.
Inisiatif ini merupakan sebahagian usaha MCMC untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat yang
kurang berkemampuan agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan berasaskan teknologi digital.- MalaysiaGazette