Norlida Abu Hassan menunjukkan gambar kenangan bersama anak angkatnya, Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malek, 7, yang masih disimpan. Foto: Melaka Hari Ini.

KUALA LUMPUR – Meskipun hanya ibu angkat namun Norlida Abu Hassan, 50, sangat mengasihi Zubaidy Amir Qusyairi Abdul Malek.

Beliau terkilan kerana tidak mempertahankan anak angkatnya yang dipanggil Amir itu untuk terus bersamanya ketika perlu diserahkan kembali kepada ibu kandungnya pada tahun lalu.

Lebih menyukarkannya untuk menerima hakikat adalah apabila kanak-kanak berusia tujuh tahun itu meninggal dunia akibat didera.

“Saya rasa menyesal tak pertahankan dia dan tidak patut saya serahkan Amir jika ini pengakhiran hidupnya,” katanya dipetik daripada portal Melaka Hari Ini.

Sebelum ini, kisah perpisahan Norlida dan anak angkatnya itu pernah tular di Facebook pada Oktober 2020.

Ramai yang bersedih apabila Norlidah terpaksa berpisah dengan anak angkatnya itu.

Sejak semalam video sedih perpisahan Zubaidy Amir dengan keluarga angkatnya tahun lalu kembali tular di media sosial.

Norlida berkata, beliau sekeluarga amat terkejut selepas dimaklumkan oleh jiran ibu kandung Amir semalam yang anak angkat kesayangannya itu kini sudah tiada lagi.

Mendengar khabar tersebut, beliau hanya mampu meraung kesedihan kerana tidak menyangka anak angkatnya menghembuskan nafas terakhir dengan tragis sekali.

“Sebagai ibu saya faham apabila ibu kandung Amir selalu mengatakan kerinduannya pada anak. Namun saya terpaksa reda melepaskannya memandangkan ketika diminta menjaganya oleh ibu kandung, tiada perjanjian hitam putih dibuat antara kami.

“Malah, ketika menyerahkan semula Amir, saya terpaksa akur kerana tak mahu ‘bergaduh’ dengan ibunya.

“Bagaimanapun, sepanjang menjaganya dari usia dua bulan hingga Oktober tahun lalu, boleh dibilang dengan jari ibu kandungnya datang berjumpa malah langsung tidak ambil tahu dan jarang bertanya khabar,” katanya lagi.

Norlida sempat mendedahkan ibu kandung Amir menghalangnya berhubung dengan anak angkatnya itu sekalipun untuk bertanya khabar sejak berpisah tahun lalu.

Menurut beliau, mereka bertemu tanpa pengetahuan ibu kandung kanak-kanak itu apabila bapa tiri Allahyarham pada November lalu membawanya bertemu dengan Norlida di sebuah kedai makan di Rawang.

“Kami nak bercakap (telefon) pun dihalang, WhatsApp juga tidak bagi. Itu yang saya sangat terkilan malah bapa tiri Amir terpaksa membawanya berjumpa saya secara senyap kerana ibunya bimbang saya akan ambil semula Amir.

“Hampir satu jam kami menghabiskan masa, malah sempat bergambar bersama dan saya sempat bertanya arwah hendak duduk dengan siapa namun dia (Amir) hanya diam.

“Dia tak bercakap tetapi saya bertanya, ‘Adik rindu Umi tak?’ dia menjawab ‘Adik rindu Umi, Amir rindu abah, kakak dan abang tapi Amir tak boleh. Amir terpaksa ikut mama (panggilan kepada ibu kandungnya). Melalui nada suaranya, saya tahu dia sakit rindukan saya, sakit sangat!” kata Norlida lagi.

Semalam, Amir dilaporkan meninggal dunia maut dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya di rumah di Taman Krubong Jaya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa ditemukan lemas dalam tong air di rumah berkenaan dengan terdapat beberapa kesan kecederaan di beberapa bahagian badan.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kanak-kanak lelaki tujuh tahun maut dipercayai didera ibu dan bapa tiri

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.