Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan mengenakan kompaun kepada klinik atau hospital swasta yang tidak melaporkan secara terus kes Covid-19.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia ekoran peningkatan kes itu secara mendadak.

Antara punca utamanya ialah kes kumulatif daripada saringan pekerja kilang, penjara, klinik dan hospital swasta yang tidak dilaporkan secara terus.

“Selain itu, mesyuarat malam tadi telah mengenalpasti kilang-kilang di seluruh Selangor sebagai kawasan utama perebakan wabak. Oleh itu kerajaan negeri akan melaksanakan Program Preventing Outbreak at Ignition Sita (POIS),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

POIS adalah program saringan di semua kilang dan tempat kerja berpotensi mencipta kluster dan prebakan Covid-19.

“Bagi mengelak tercetus kluster-kluster baru di kilang dan tempat kerja, kerajaan Selangor mencadangkan kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan tegas menutup kilang yang menyembunyikan kes positif dalam kalangan pekerja serta tidak memberikan kerjasama untuk aktiviti pengesanan kontak rapat,” katanya.

Mesyuarat yang sama, menurutnya juga mencadangkan menambah pusat Covid-19 Assesment Center (CAC) terutama di daerah Petaling, Hul Langat dan Gombak.

CAC berperanan menganalisa pesakit Covid-19 bagi dikelaskan mengikut kategori tertentu sebelum dibawa ke pusat kuarantin atau hospital untuk rawatan lanjut.- MalaysiaGazette