Pengarah Urusan AMACC, Amsyari Zahir Abdul Shakur memerhatikan pekerjanya melakukan runtin harian semasa temubual khas di AMACC Corporate Services Sdn Bhd, Bandar Baru Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 29 JANUARI 2021.
Pengarah Urusan AMACC, Amsyari Zahir Abdul Shakur memerhatikan pekerjanya melakukan runtin harian semasa temubual khas di AMACC Corporate Services Sdn Bhd, Bandar Baru Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 29 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Mengharungi cabaran ekoran penularan pandemik Covid-19, rata-rata majikan melahirkan kegusaran mereka dalam menghadapi risiko gulung tikar.

Justeru, pengumuman kerajaan dalam menambahbaik Program Subsidi Upah 3.0 (PSU) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dilihat sebagai talian hayat kepada syarikat dalam usaha untuk memastikan mereka mampu bertahan.

Pengarah Urusan AMACC, Amsyari Zahir Abdul Shakur ketika ditemui MalaysiaGazette memberitahu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula dilaksanakan pada Mac tahun lalu memberi impak yang teruk kepada syarikatnya.

Katanya, hasil syarikat cuma meliputi 30 peratus sahaja dan perniagaannya hampir gulung tikar.

“Kalau tidak ada PSU ini, kami terpaksa let go bisnes ini sebab mulanya kita ingat pandemik ini berlaku dalam sebulan atau dua bulan sahaja tapi akhirnya lama sampai tiga bulan dan sehingga sekarang masih ada PKP.

“Jadi PKP memang beri kesan kepada perniagaan kami dan memang beri kesan yang banyak sangat, sale nak sampai macam dulu memang tidak ada, belum sampai lagi,” katanya.

Pengarah Urusan AMACC, Amsyari Zahir Abdul Shakur semasa temubual khas di AMACC Corporate Services Sdn Bhd, Bandar Baru Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 29 JANUARI 2021.
Pengarah Urusan AMACC, Amsyari Zahir Abdul Shakur semasa temubual khas di AMACC Corporate Services Sdn Bhd, Bandar Baru Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 29 JANUARI 2021.

Memulakan perniagaan sepuluh tahun lalu, Amsyari Zahir mengakui pandemik Covid-19 adalah saat paling sukar untuk dihadapi oleh diri dan syarikatnya.

Bagaimanapun, menerusi Program Subsidi Upah 3.0 yang dilaksanakan kerajaan beliau dapat mengekalkan 35 pekerjanya serta mampu  menambah kakitangan.

“Kalau nak katakan lega, sangat lega saya tak nafikan. bila kita tengok baki akaun, boleh ke bertahan berapa lama lagi.

“Tapi bila nampak subsidi upah masuk, sangat lega sebab kita sudah tidak ada bantuan lain. Kalau kami nak push sales yang kami biasa buat, kita tahu orang luar pun terkesan. Jadi dengan bantuan PSU, sangat membantu kami.

“Secara peribadi saya nak ucapkan terima kasih kepada Perkeso yang memperkenalkan Program Subdisi Upah ini. Bagi saya ia sangat membantu dan sangat memberikan kesan yang positif dan beri semangat kepada kami untuk kami teruskan perniagaan,” katanya lagi.

Untuk rekod, AMACC menawarkan perkhidmatan perakaunan, percukaian dan khidmat perundingan untuk membuka syarikat kepada mana-mana individu yang memerlukan khidmat mereka.

Pengurus Jualan SmartCool Film Marketing, Ten Chai Tong (kiri) bersama pekerjanya memeriksa stok ‘tinted’ semasa temubual khas di Smartcool Solar Film Marketing, Bandar Puchong Utama, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 29 JANUARI 2021.
Pengurus Jualan SmartCool Film Marketing, Teh Chai Tong (kiri) bersama pekerjanya memeriksa stok ‘tinted’ semasa temubual khas di Smartcool Solar Film Marketing, Bandar Puchong Utama, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 29 JANUARI 2021.

Sementara itu, bagi pengurus jualan SmartCool Film Marketing, Teh Chai Tong, Program Subsidi Upah 3.0 telah menyelamatkan perniagaannya yang berusia 15 tahun.

Perniagaan yang mempunya lapan orang pekerja ini, katanya, akan turut gulung tikar sekiranya tiada bantuan seumpama itu daripada kerajaan.

“Jualan syarikat saya turun sehingga 50 peratus, saya ada dua orang jurujual produk, mereka tidak boleh keluar jumpa pelanggan jadi jualan produk kami kurang masa PKP.

“Saya dapat bantuan daripada Perkeso, kalau tidak ada PSU ini mungkin saya terpaksa lepaskan satu atau dua orang pekerja saya. Bila ada PSU, saya dapat bantuan dan boleh kekalkan pekerja saya dan bayar upah mereka,” kata beliau.

Pengurus Jualan SmartCool Film Marketing, Teh Chai Tong menunjukkan pelbagai jenis ‘tinted’ semasa temubual khas di Smartcool Solar Film Marketing, Bandar Puchong Utama, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 29 JANUARI 2021.
Pengurus Jualan SmartCool Film Marketing, Teh Chai Tong menunjukkan pelbagai jenis ‘tinted’ semasa temubual khas di Smartcool Solar Film Marketing, Bandar Puchong Utama, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 29 JANUARI 2021.

Chai Tong dalam pada itu berkata, Program Subsidi Upah 3.0 membolehkan beliau mengekalkan kelapan-lapan pekerjanya semasa penularan pandemik Covid-19.

“Saya amat hargai dan berterima kasih dengan pelaksanaan oleh Perkeso sebab kerajaan nampak perniagaan kecil seperti saya yang sememangnya memerlukan bantuan.

“Subdisi kerajaan ini bagus dan membantu peniaga seperti saya. Tanpa PSU ini memang saya terpaksa kurangkan pekerja, ataupun mungkin kurangkan hari bekerja mereka,” katanya lagi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Januari lalu mengumumkan Program Subsidi Upah 3.0 bagi membantu majikan meneruskan operasi mereka.

Muhyiddin berkata demikian dalam pengumuman khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).

PERMAI merangkumi 22 inisiatif yang berteraskan tiga matlamat utama membabitkan peruntukan sebanyak RM15 bilion yang mana turut dimasukkan PSU 3.0.

Di bawah inisiatif ke-13 PERMAI itu, untuk tempoh satu bulan, semua majikan yang beroperasi dalam PKP layak untuk memohon, tanpa mengambil kira sektor membabitkan peruntukan RM1 bilion.

Majikan yang layak akan menerima subsidi upah berjumlah RM600 bagi setiap pekerja bergaji kurang RM4,000, manakala had pekerja bagi setiap permohonan ditingkatkan kepada 500. – MalaysiaGazette