KUALA LUMPUR – Ibu angkat kanak-kanak malang yang meninggal dunia dipercayai akibat didera tidak dapat membayangkan kesakitan yang ditanggung oleh Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7, sehingga dia meninggal dunia.
Sambil menangis tersedu-sedan, Norlida Abu Hasan yakin Allahyarham pasti ada memanggil namanya pada saat-saat akhir nyawanya.
“Dia mesti panggil umi, dia mesti panggil umi sebab dulu di rumah kalau kakak dia marah ke, dia akan duduk menangis panggil saya.
“Umi, umi, dia panggil saya pujuk dia. Saya yakin dia mesti panggil umi,” katanya dengan linangan air mata.
Norlida meluahkan rasa hatinya di depan Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun yang mengunjungi keluarga angkat Amir.
Dengan tangisan terisak-isak, Norlida menyifatkan kehadiran Amir sebagai satu anugerah yang tidak ternilai kepadanya dan sentiasa memastikan anak itu dalam keadaan baik.
“Kalau dia digigit nyamuk pun saya kelam-kabut cari ubat atau minyak untuk sapu,” katanya yang mengucap syukur kerana diberi peluang oleh Allah untuk membesarkan kanak-kanak malang itu.
Norlida yang menangis sepanjang pertemuan dengan Rina berkata, beliau cukup terkilan kejadian yang menimpa anak itu kerana Allahyarham anak yang baik dan mendengar kata.
Selain boleh menghafal surah al-Mulk, Allahyarham juga boleh mengaji dengan baik dan bersolat.
“Saya tidak bayangkan keadaannya jika dia tinggal dengan maknya dari kecil,” ujarnya yang memegang erat bantal di atas ribanya sepanjang pertemuaan itu.
Ibu kepada lima orang anak itu berkata, bantal yang dipegangnya itu kepunyaan Amir.
“Dia bagi saya bantal ini. Masa jumpa hari tu dia tanya saya: “Umi rindu adik?
”Dia tahu saya tidak boleh berpisah dengan dia, tu dia bagi bantal ni sebagai penggantinya” tambah Norlida lagi sambil menekup bantal ke mukanya bagi menahan tangisannya.
Norlida yang cukup terkilan dengan kematian Amir yang tragis itu berkata, sebelum ini dia telah meminta izin ibu kanak-kanak itu untuk menjaganya dua tahun lagi kerana mahu memastikan anak angkatnya boleh solat dan mengaji dengan sempurna.
Awalnya, ibu Amir setuju kerana merancang untuk menyekolahkan Allahyarham di Melaka.
Walaupun redha dengan ketentuan Allah yang hanya meminjamkan Amir selama enam tahun, Norlida berharap nenek Allahyarham membenarkan dia mengurus dan mengebumikan jenazah anak tersebut di Rawang.
“Saya faham dalam hal ini waris Amir lebih berhak. Tetapi saya mohon belas ihsan neneknya. Biarlah Amir dikebumikan dekat dengan saya.
”Benarkanlah saya kebumikan tempat dia dibesarkan, disekolahkan.
“Kalau saya rindu, bolehlah saya ziarah kuburnya. Kalau di sini mungkin (kubur) tidak terjaga sebab mereka jaga dia tiga bulan je,” katanya penuh berharap.
Norlida berkata, kemungkinan besar jenazahnya dibenarkan dituntut esok. – MalaysiaGazette