KUALA LUMPUR – Kerajaan terpaksa mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi dua lokaliti di Simpang Renggam, Johor berikutan berlaku peningkatan kes positif Covid-19 mendadak.
Dua lokaliti yang diletakkan bawah PKPD itu ialah Penjara Simpang Renggam dan Kuarters Kakitangan, Kluang, Johor selama dua minggu mulai esok hingga 14 Februari ini.
Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaporkan situasi peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di Penjara Simpang Renggam dan Kuarters Kakitangan.
Katanya, sehingga 29 Januari lalu, KKM telah melakukan sebanyak 198 ujian saringan dan daripada jumlah itu 108 kes positif Covid-19 telah direkodkan melibatkan 100 tahanan, enam kakitangan dan dua kontak rapat.
“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Penjara Simpang Renggam dan Kuarters Kakitangan bermula 1 sehingga 14 Februari ini.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan dan kontak rapat yang terlibat untuk memastikan tiada penularan jangkitan dalam komuniti.
“SOP PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga tidak dibenarkan sama sekali,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pelaksanaan PKP di daerah Song dan daerah Kapit, Bahagian Kapit, Sarawak selama 14 hari bermula 2 sehingga 15 Februari ini.
Katanya, KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di daerah Song yang sebelumnya merupakan Zon Hijau dengan 93 kes direkodkan, manakala daerah Kapit, kes telah meningkat dari tiada kepada 31 kes positif.
“Kedua-dua daerah ini menunjukkan peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh 14 hari dengan kadar keberjangkitan yang tinggi.
“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKP di daerah Song dan daerah Kapit, Bahagian Kapit, Sarawak,” katanya.
SOP PKP sama seperti diumumkan sebelum ini, antaranya semua penduduk dalam kawasan tidak dibenarkan keluar dari kediaman atau tempat tinggal masing-masing kecuali dua orang sahaja wakil isi rumah dibenarkan keluar hanya untuk mendapatkan barangan keperluan.
Jelas beliau, maksimum tiga orang termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan, manakala pergerakan dalam atau keluar masuk kawasan PKP bagi kes kecemasan seperti kematian dibenarkan setelah mendapatkan kebenaran daripada polis.
“Restoran, kedai, gerai makan, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara jam 6 pagi hingga 8 malam, manakala bagi aktiviti pembekalan atau penjualan makanan hanya dibenarkan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran sahaja bermula jam 6 pagi sehingga 8 malam.
“Hospital, klinik dan makmal perubatan boleh beroperasi sehingga 24 jam atau mengikut lesen kebenaran beroperasi, begitu juga kedai farmasi boleh beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam,” katanya.
Kata beliau, kedai keperluan harian beroperasi 6 pagi hingga 8 malam, diikuti stesen minyak (6 pagi – 8 malam), pasar basah harian (6 pagi – 2 petang), klinik dan kedai makanan haiwan (6 pagi – 8 malam) dan kedai dobi kecuali dobi layan diri (6 pagi – 8 malam). – MalaysiaGazette