Sebahagian waris-waris menunggu perlepasan jenazah Allahyarham Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7, untuk proses pengebumian di Unit Forensit Hospital Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 01 FEBRUARI 2021.

AYER KEROH – Jenazah kanak-kanak berusia 7 tahun yang disyaki didera oleh ibu kandung dan bapa tiri akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh, Jasin hari ini.

MalaysiaGazette difahamkan sehingga 10 pagi tadi, keluarga angkat arwah masih lagi menaruh harapan untuk mengebumikan jenazah Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.

Bagaimanapun keluarga arwah enggan dan hendak mengebumikannya di Simpang Bekoh, Melaka yang merupakan kampung Amir.

Malah kehadiran media untuk bertemu nenek Amir seawal 8 pagi tidak berjaya apabila mereka tidak dibenarkan masuk ke kawasan perumahan tersebut.

Ibu angkat Amir, Norlida Abu Hassab yang ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka di sini hari ini dengan memegang bantal milik Amir kelihatan sugul.

Semalam, suami Norlida, Md Tarmidi Yaaccob berkata, keluarganya masih berbincang dengan keluarga arwah untuk membawa jenazah bagi dikebumikan di Rawang.

Katanya, dia ada berjumpa ibu kandung arwah serta keluarganya yang lain untuk membincangkan hal itu namun belum ada keputusan.

“Kami merayu kepada mereka supaya benarkan jenazah dikebumikan di Rawang. Pada dasarnya mereka tidak bersetuju, namun kami tidak putus harapan untuk terus merayu selain meminta kerjasama polis.

“Walaupun keluarga kandung mempunyai hak tetapi atas rasa simpati dan prihatin kepada kami yang menjaganya sejak kecil, izinkanlah kami mengebumikan jenazah di tempat kami,” katanya.

Kelmarin, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya di rumah di Taman Krubong Jaya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Jumaat itu, pihak polis menerima panggilan daripada bapa tiri mangsa berusia 38 tahun yang memaklumkan anaknya lemas dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter di rumah berkenaan.

Siasatan polis mendapati hasil pemeriksaan fizikal terhadap mayat mangsa menemui kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. “Bagaimanapun keluarga arwah enggan dan hendak mengebumikannya di Simpang Bekoh, Melaka yang merupakan kampung Amir.”
    Mintak maaf “bagaimana hendak di katakan kampung arwah bila sepanjang hayatnya majoriti ia dibesarkan di kajang..”

Comments are closed.