Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menutup sementara pejabat dan kaunter di Shah Alam mulai hari ini, 1 Februari 2021 hingga dimaklumkan kelak, selepas beberapa kakitangan cawangan tersebut didapati positif Covid-19.

Penutupan ini berikutan daripada arahan Kementerian Kesihatan Malaysia kepada pengurusan premis untuk menjalankan proses disinfeksi dan sanitasi.

Kakitangan-kakitangan KWSP tersebut kini sedang menjalani rawatan dan pemulihan, manakala pengesanan kontak
sedang dilaksanakan.

Selain itu, KWSP Lahad Datu akan dibuka semula bermula Khamis, 4 Februari 2021 selepas ditutup bermula 20 Januari 2021.

Ahli-ahli adalah dinasihatkan untuk melaksanakan transaksi bagi perkhidmatan tertentu secara dalam talian melalui i-Akaun atau menjadualkan semula urusan mereka melalui Janji Temu Online jika ada keperluan untuk hadir ke cawangan.

KWSP juga telah mengambil langkah perlu untuk menjaga kesihatan dan keselamatan kakitangan dan orang ramai.

Semua anggota perkhidmatan KWSP Shah Alam akan menjalani ujian swab Covid-19, dan jika didapati positif, akan mematuhi tempoh kuarantin wajib selama 10 hari mengikut garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Semua cawangan KWSP akan tetap mengamalkan penjarakan fizikal dan SOP pencegahan yang lain untuk
membendung penularan wabak Covid-19.

Sekiranya ahli ingin mendapatkan penjelasan lanjut, mereka boleh hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 atau rujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my – MalaysiaGazette