KUALA LUMPUR – Pemain industri kesihatan swasta bersedia untuk membantu kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19.
Pengerusi Nexus Penjagaan Kesihatan Swasta (PHPN), Datuk Dr. Jacob Thomas berkata, fasiliti kesihatan di hospital swasta kini siap sedia menerima sejumlah pesakit Covid-19 seperti yang diarahkan kerajaan sebelum ini.
”Selain itu, terdapat juga pesakit bukan Covid-19 yang dipindahkan ke hospital swasta contohnya pesakit yang perlu menjalani ujian dialisis dan pembedahan.
“Ini bagi mengurangkan risiko jangkitan dan membantu meningkatkan lagi kapasiti wad dan katil di hospital kerajaan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai peranan hospital swasta dalam membantu kerajaan menangani pandemik Covid-19.
Menurut beliau, hospital swasta turut menyediakan sebanyak 71 unit ventilator kepada hospital kerajaan di seluruh negara, yang mana pada ketika itu kes yang direkodkan di Unit Penjagaan Intensif (ICU) dan Unit Penjagaan Jantung (CCU) telah mula menunjukkan penurunan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, pihak penyedia kesihatan swasta sentiasa menyokong kerajaan dalam menangani apa sahaja situasi yang berkaitan penjagaan kesihatan di Malaysia lebih-lebih lagi pada waktu Malaysia diuji dengan peningkatan kes yang semakin meningkat saban hari.
Antara langkah yang diambil oleh PHPN dalam membantu kerajaan termasuk menyediakan pusat saringan di hospital swasta serta ujian swab kepada pekerja-pekerja asing.
Setakat ni sebanyak 130 fasiliti swasta yang menyediakan pusat saringan covid-19.
”PHPN juga mengambil langkah lebih awal semasa negara dilanda wabak ini dengan mewujudkan model Kerjasama Awam-Swasta (PPP) untuk merangsang penglibatan pihak swasta dan menambahbaik mutu perkhidmatan kesihatan yang diberikan oleh kerajaan,” tambah beliau.
Jacob berkata, kesemua inisiatif ini bertujuan membantu mengurangkan kesesakan pesakit-pesakit Covid-19 yang kini mula memenuhi fasiliti kesihatan kerajaan.
Melalui perubahan yang sistematik dan holistik, pihak hospital swasta mampu memaksimumkan sumber dari pelbagai sudut seperti peralatan, teknologi, kepakaran dan penjagaan pesakit.
”Semua ini dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti di hospital kerajaan yang mana para barisan hadapan kini berdepan dengan tekanan fizikal dan mental dalam mendepani situasi yang sangat mencabar ini,” ujar beliau.
PHPN merupakan inisiatif peningkatan produktiviti yang diterajui oleh sektor swasta dan disokong oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). – MalaysiaGazette