Noor Aziah Mohd Awal.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) digesa supaya mengembalikan fungsi Talian NUR yang didedikasikan untuk kanak-kanak dan dikendalikan oleh kakitangan terlatih dengan kelayakan psikososial.

Pesuruhjaya Kanak-kanak, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal
berkata, Talian Kasih yang ada pada hari ini tidak mempunyai talian khusus seperti itu.

Menurut beliau, pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kanak-kanak menghadapi kesukaran dalam memperolehi hak-hak asas termasuk pendidikan dan beriadah yang sempurna.

Lebih mengecewakan apabila mengetahui terdapat ramai kanak-kanak yang tidak dapat hidup dalam persekitaran yang selamat.

KPWKM telah merekodkan sejumlah 4,349 kes penderaan fizikal, seksual dan emosi ke atas kanak-kanak tahun lepas, termasuk 2,287 kes keganasan rumahtangga malah mengesahkan jumlah kes tinggi terutamanya ketika pelaksanaan pelbagai PKP.

Selain itu dilaporkan bahawa kes sumbang mahram telah meningkat ketika tempoh PKP.
.
Semua ini menunjukkan keganasan terhadap kanak-kanak adalah masih sangat ketara di negara ini, kata Noor Aziah.

Oleh itu, katanya, kerajaan hendaklah memfokuskan usaha yang lebih bagi menjamin keselamatan kanak-kanak terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

Talian Kasih 15999 serta nombor WhatsApp 019-2615999 hendaklah dipromosikan melalui semua bentuk platform media sosial, televisyen, radio, papan iklan di semua tempat awam termasuk lebuh raya, masjid-masjid, kuil-kuil, sekolah-sekolah, hospital-hospital, pasar-pasar raya dan stesen-stesen bas dan keretapi.

KWPKM juga digesa menggunakan peruntukan undang-undang dalam Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 berhubung perlantikan Pembantu Pelindung dalam kalangan NGO-NGO.

Susulan kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun di Taman Krubong Jaya, Melaka dipercayai akibat didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya, beliau menekankan adalah mustahak untuk semua keluarga pelihara mendaftarkan diri dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ia membolehkan JKM memantau keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak serta memberi nasihat yang bersesuaian sekiranya ibu bapa kandung ingin mengambil kembali anak mereka untuk dijaga.

Walaupun pengambilan anak pelihara digalakkan, JKM hendaklah menyediakan prosedur sesuai bagi melindungi kanak-kanak sekiranya penjaga yang sah (ibu bapa kandung kanak-kanak) ingin mengambil semula kanak-kanak untuk dijaga.

Masyarakat juga digesa untuk menjadi masyarakat yang lebih prihatin kerana setiap orang mempunyai tanggungjawab untuk melaporkan kepada pihak berkuasa jika didapati ada kanak-kanak dalam kawasan kejiranan yang disyaki didera oleh ibu bapa atau penjaganya, ujar beliau. – MalaysiaGazette